
Katanya, idealnya semua Ahli Parlimen daripada gabungan politik sepatutnya kekal dalam perikatan masing-masing bagi tempoh lima tahun sebagai menghormati mandat diberikan pengundi.
“Kita sepatutnya setia (kepada parti) tanpa mengira apa berlaku. Apa bezanya antara satu Ahli Parlimen lompat dengan Ahli Parlimen lompat beramai-ramai. Ini lompat katak beramai-ramai.
“Itu sebabnya saya katakan penggal tetap lima tahun patut dikuat kuasa pada semua,” katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru terbitan Astro Awani.
Nazri berkata, undang-undang anti-lompat merupakan langkah terbaik sebagai mengingatkan semua Ahli Parlimen bahawa jika mereka bertukar parti beramai-ramai, ia mencetuskan banyak pilihan raya kecil.
“Katakan 30 Ahli Parlimen bertukar parti, jadi anda ada 30 pilihan raya kecil. Rakyat pasti marah. Perlu ada langkah mencegah, memaksa YB (Yang Berhormat) berfikir banyak kali sebelum melompat,” katanya.
Semalam, Mahathir yang juga bekas perdana menteri mahu “lompat” membabitkan keseluruhan parti dibenarkan, dengan syarat mendapat restu tertinggi parti terlebih dulu.
Ahli Parlimen Langkawi itu menjelaskan, ia penting seandainya berlaku situasi tidak ada sebuah parti pun yang memenangi lebih 50% kerusi dalam pilihan raya umum (PRU) untuk membentuk kerajaan.
“Kalau kita tegah semua tidak boleh lompat parti, maka tidak akan ada kerajaan yang majoriti dan berwibawa,” katanya.
Dalam pada itu, Nazri bersetuju dengan rakan panelis, Presiden Warisan Shafie Apdal yang berkata sebelum RUU anti-lompat, lompat parti sudah menjadi satu bentuk “perniagaan”.
“Ia sudah menjadi profesion membuat wang.”
Shafie berkata, wakil rakyat Sabah dan Ahli Parlimennya sudah bertukar parti sekurang-kurangnya tujuh ke 10 kali pada masa lalu, menyebabkan kekacauan dalam kerajaan negeri terdahulu.
Beliau mendakwa, ada wakil rakyat menerima RM4 juta hingga RM5 juta setiap kali berpaling tadah dengan berjanji akan membelanjakan wang diperoleh untuk kawasan diwakili.
Katanya, realitinya hanya kira-kira RM1 juta saja akan dibelanjakan di kawasan dan selebihnya disimpan dalam deposit tetap, kemudian digunakan untuk tujuan peribadi.