Tendang muka isteri kerana cemburu, lelaki mengaku tak salah

Tendang muka isteri kerana cemburu, lelaki mengaku tak salah

Pekerja swasta didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya dengan menendang muka mangsa di rumah mereka di Taman Kesidang, Melaka 4 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, atas tuduhan menendang muka isterinya kerana cemburu awal bulan ini.

Tertuduh, Danial Dallas Abdullah, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nabihah Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan, pekerja swasta itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya berusia 41 tahun dengan menendang muka mangsa di rumah mereka di Taman Kesidang, Seksyen 3, kira-kira 8 malam 4 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan, menurut Harian Metro.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin menawarkan jaminan RM5,000 berserta seorang penjamin, namun tertuduh merayu dikurangkan kerana berpendapatan rendah iaitu RM1,200 sebulan dan menanggung dua anak.

Selepas mendengar rayuan itu, mahkamah membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM4,500 berserta penjamin sementara menunggu perbicaraan selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan dan lantikan peguam pada 20 Sept depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.