Kelantan sedia bentang semula pindaan perlembagaan negeri larang ADUN lompat parti

Kelantan sedia bentang semula pindaan perlembagaan negeri larang ADUN lompat parti

Perbincangan itu akan dibuat dalam masa terdekat bagi membolehkan ia dibentang di DUN Kelantan.

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan, Mohamed Fadzli Hassan berkata, perbincangan di peringkat negeri akan dibuat segera bagi membolehkan undang-undang itu dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan untuk dibentang dan diluluskan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kelantan akan membuat perbincangan untuk membentangkan semula pindaan perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri bagi melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ADUN bertukar parti supaya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam.

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan, Mohamed Fadzli Hassan berkata, perbincangan di peringkat negeri akan dibuat segera bagi membolehkan undang-undang itu dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan untuk dibentang dan diluluskan.

“Perkara ini akan dibincangkan segera di peringkat negeri. Kelantan perlu membuat pembentangan semula,” katanya yang juga ADUN Temangan kepada FMT.

Sementara itu, Setiausaha PAS Kelantan Wan Roslan Wan Hamat berkata, Kelantan antara negeri yang awal meluluskan undang-undang anti-lompat parti sejak 1991, bagaimanapun ia tidak disahkan di peringkat pusat.

“Kelantan negeri awal yang meluluskan undang-undang anti-lompat (tahun 1991) dan pilihan raya kecil telah diadakan apabila wakil rakyat di negeri itu melompat, tetapi ia tidak disahkan pusat,” katanya yang juga ADUN Pengkalan Kubor.

Roslan merujuk kepada kes melibatkan dua wakil rakyat di negeri itu yang melompat parti, bagaimanapun apabila dibawa ke mahkamah kedudukan mereka sebagai wakil rakyat tidak terbatal.

Mahkamah sebelum ini pernah mengisytiharkan peraturan yang menghalang lompat parti di dalam Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan sebagai batal dan tidak sah.

Pada tahun 1991, Perkara 31A telah ditambah pada Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan bagi menetapkan bahawa “jika mana-mana ahli Dewan Negeri yang menjadi ahli suatu parti politik meletakkan jawatan atau dibuang daripada parti itu, atau atas apa-apa sebab jua berhenti daripada menjadi ahli suatu parti politik itu, dia hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Negeri dan kerusinya hendaklah menjadi kosong”.

Ketika itu dua ADUN dari Parti Semangat 46 iaitu Nordin Saleh dan Wan Najib, telah lompat menyertai Umno. Lalu mereka dilucutkan jawatannya sebagai ADUN melalui kuatkuasa pindaan baharu itu dan diadakan pilihan raya kecil dan mereka bertanding menjadi calon Umno, lalu kalah kepada calon Semangat 46.

Bagaimanapun dua wakil itu mencabar di mahkamah dan akhirnya keputusan menyebelahi mereka apabila mahkamah mengembalikan kerusi sebagai ADUN dan memutuskan bahawa Perkara 31A Perlembagaan Kelantan itu adalah terbatal kerana bercanggah dengan kebebasan berpersatuan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Semalam, pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah “lompat parti” mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan, sekali gus melakar sejarah yang mengubah landskap politik tanah air.

RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 itu memperoleh masing-masing sokongan 209 daripada 220 Ahli Parlimen selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan Rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.