
Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, berkata jambatan sementara itu perlu ditutup untuk kegunaan orang ramai, sekiranya paras air sungai meningkat dan deras bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Beliau menjelaskan dalam kejadian banjir semalam, pasukan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membuat pemeriksaan ke atas struktur jambatan itu dan mendapati ia tidak terjejas.
“Bagaimanapun berlaku hakisan tanah di jalan ke jambatan itu, yang menyebabkan kemudahan itu terpaksa ditutup buat sementara waktu, untuk membolehkan kerja-kerja membaiki kerosakan jalan raya itu dilakukan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Dalam kejadian semalam, hujan lebat selama tiga jam bermula pada 2 petang menyebabkan paras air Sungai Kupang meningkat dan menjadi deras serta melimpah ke kawasan penempatan penduduk.
Paras air sungai juga meningkat melepasi jambatan itu, menyebabkan laluan itu ditutup kepada orang ramai bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Jambatan keluli bermodular “Old Bailey Bridge” dibina di Kampung Iboi bagi menggantikan jambatan asal yang musnah dalam kejadian kepala air pada 4 Julai lalu.
Kejadian itu turut meragut tiga nyawa termasuk seorang wanita hamil empat bulan.
Sementara itu, Wan Ahmad Uzir berkata pihak Jabatan Pengairan dan Saliran juga telah menjalankan kerja mendalamkan Sungai Kupang sejak minggu lepas, bagi mengelakkan kejadian limpahan air ke kawasan penempatan penduduk.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan kuantiti pasir yang agak banyak menyukarkan kerja itu dilakukan dan sungai tersebut menjadi cetek semula setiap kali hujan yang membawa pasir dari hulu sungai ke kawasan terlibat.
Dalam kejadian semalam, seramai 58 orang daripada 19 keluarga dari Kampung Padang Empang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), selepas kediaman mereka dinaiki air ekoran hujan lebat selain limpahan air Sungai Kupang.