ADUN Tronoh rehat hingga rayuan kes rogol selesai, kata PBM

ADUN Tronoh rehat hingga rayuan kes rogol selesai, kata PBM

Keputusan itu diambil dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PBM hari ini.

Pada 27 Julai Mahkamah Tinggi Ipoh menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan terhadap Paul Yong Choo Kiong selepas didapati bersalah merogol pembantu rumah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Parti Bangsa Malaysia (PBM) menerima permohonan ADUN Tronoh Paul Yong Choo Kiong yang didapati bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia, tiga tahun lalu untuk berehat sepenuhnya daripada aktiviti parti sementara proses rayuannya di mahkamah selesai.

Ketua penerangannya, Zakaria Abdul Hamid berkata keputusan itu diambil dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PBM hari ini.

“Jawatan bendahari agung dan pengerusi negeri Perak yang disandang Paul Yong akan diganti dengan pelantikan baharu dalam masa terdekat,” kata Zakaria dalam kenyataan.

Pada 27 Julai lalu Mahkamah Tinggi Ipoh menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan terhadap Yong selepas didapati bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumah.

Hakim Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan elemen pertuduhan melalui saksi-saksi dikemukakan.

Beliau berkata, mahkamah mensabitkan tertuduh dengan kesalahan sebagaimana dikenakan terhadapnya mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam tertuduh, Rajpal Singh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, Zakaria memaklumkan PBM akan mengadakan Persidangan Agung Tahunan Bahagian bermula 30 Julai sehingga 14 Ogos 2022, manakala Persidangan Agung Tahunan Negeri pula pada 15 Ogos hingga 29 Ogos 2022.

Turut diadakan pada tarikh sama, persidangan bagi sayap Wanita dan Pemuda PBM bagi setiap bahagian dan negeri.

“Tarikh Persidangan Agung Tahunan Pusat PBM akan ditentukan di dalam mesyuarat akan datang dan akan dimaklumkan kepada umum nanti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.