Siasatan terhadap bekas ketua perisik masih berjalan, kata menteri

Siasatan terhadap bekas ketua perisik masih berjalan, kata menteri

Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjawab pertanyaan R Sivarasa mengenai tuduhan baharu yang sebelum ini dikatakan akan dikenakan terhadap Hasanah Abdul Hamid.

April lalu, bekas ketua perisik, Hasanah Abdul Hamid dilepas tanpa dibebaskan daripada kes pecah amanah berjumlah RM50 juta.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat bekas ketua perisik, Hasanah Abdul Hamid atas dakwaan pecah amanah (CBT), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

April lalu, bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada kes CBT berjumlah RM50 juta.

Pihak pendakwaan menyatakan dia akan menghadapi tuduhan baharu pada tarikh lain susulan penemuan “perkembangan baharu”.

Dalam jawapan bertulis Parlimen, Wan Junaidi berkata, Jabatan Peguam Negara telah menerima kertas siasatan SPRM berhubung kes Hasanah pada 4 Okt tahun lepas.

“Namun, siasatan lanjut terhadap Hasanah masih berterusan berikutan siasatan yang sedang dijalankan SPRM terhadap seorang pegawai serbuannya mengenai kehilangan barang kes berkaitan kes tersebut.

“Perkara ini telah menyebabkan kelewatan dalam siasatan lanjut terhadap kes Hasanah dan setakat ini, tiada apa-apa syor dikemukakan SPRM berhubung kes ini,” katanya menjawab pertanyaan R Sivarasa (PH-Sungai Buloh).

Ahli Parlimen PKR itu ingin tahu status kes itu kerana Wan Junaidi sebelum ini berkata, perkara itu telah dirujuk semula kepada SPRM untuk siasatan lanjut.

Beliau mempersoalkan mengapa lebih setahun diambil untuk Hasanah menghadapi tuduhan baharu, selepas DNAA diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hasanah didakwa melakukan CBT membabitkan RM50 juta dana kerajaan Malaysia antara 30 April hingga 9 Mei 2018.

Pada Januari, seorang pegawai SPRM mengaku tidak bersalah melesapkan USD6.94 juta (kira-kira RM29 juta) yang dirampas agensi tersebut berkaitan kes Hasanah.

SPRM sebelum ini mengesahkan tiga pegawai kanannya ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa dan amalan salah berhubung kes itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.