RM1 juta ‘bayaran balik’, bukan pendapatan, peguam Shahrir beritahu mahkamah

RM1 juta ‘bayaran balik’, bukan pendapatan, peguam Shahrir beritahu mahkamah

Peguam memberitahu pendirian bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu konsisten dan beliau tidak sengaja mengelak daripada mengisytiharkan RM1 juta sebagai pendapatan.

Shahrir Samad didakwa gagal mengisytiharkan RM1 juta diterimanya bawah Akta Amla. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pihak pembelaan dalam kes perbicaraan Shahrir Samad atas tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1 juta mendakwa dana itu adalah “pembayaran balik” dan bukan pendapatan.

Peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa, pendirian bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu konsisten dan beliau tidak sengaja mengelak daripada mengisytiharkan RM1 juta sebagai pendapatannya.

“Dia menghadapi pertuduhan bawah Amla (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram), di mana kesalahan dibuat mengikut Seksyen 113 Akta Cukai Pendapatan (membuat penyata tidak betul).

“Kedudukan dia konsisten bahawa tiada unsur mengelak pengisytiharan cukai di pihaknya kerana RM1 juta adalah pembayaran balik dana amanah daripada wang peribadinya.

“Oleh itu, adalah relevan bagi kami untuk memastikan bahawa, beliau berada dalam kedudukan untuk membuat pembayaran daripada wang peribadinya,” katanya, sambil menambah pihak pembelaan telah meminta saksi pendakwaan daripada pejabat Parlimen, Rosli Mat Jinun, untuk mengemukakan laporan gaji bulanan dan elaun Shahrir mulai tahun 1978.

Shahrir didakwa gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib Razak sembilan tahun lalu.

Awal hari ini, Firoz menyoal Rosli mengenai gaji dan elaun bulanan Shahrir selepas dipilih sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru lebih 40 tahun lalu.

Rosli bagaimanapun berkata, beliau tidak mempunyai akses kepada maklumat itu kerana ia telah dilupuskan.

Beliau juga berkata, gaji dan elaun yang dibayar kepada Shahrir ketika berkhidmat sebagai timbalan menteri dan menteri dalam pelbagai portfolio bukan bawah kawalannya.

Timbalan Pendakwa Raya Afif Ali, yang membantah soalan peguam itu dan bertanya, bagaimana ia relevan dengan pertuduhan Shahrir.

Beliau berkata, kesalahan yang didakwa berlaku pada 25 April 2014.

“Apa kaitan gajinya dari 1978?” soalnya.

Sebagai maklum balas, Firoz berkata, pihak pembelaan berhak secara adil untuk mendapatkan maklumat daripada Rosli.

Rosli kemudian berkata, beliau perlu berunding dengan penyelianya jika boleh mendapatkan maklumat yang diminta oleh pihak pembelaan pada tarikh perbicaraan akan datang.

Perbicaraan di hadapan hakim Jamil Hussin bersambung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.