Prestasi Malaysia lebih baik berbanding Indonesia, kata bekas ketua EAC

Prestasi Malaysia lebih baik berbanding Indonesia, kata bekas ketua EAC

Noor Azlan Ghazali menolak tanggapan bahawa Malaysia ketinggalan di belakang rakan serantau Asean kita.

Bekas pengarah eksekutif EAC Noor Azlan Ghazali menyeru rakyat Malaysia agar lebih yakin dengan keupayaan negara.
PETALING JAYA:
Kedudukan Malaysia lebih baik berbanding Indonesia di mata masyarakat global berdasarkan pelbagai indeks global, kata bekas pengarah eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (EAC).

Ahli ekonomi Noor Azlan Ghazali berkata, beliau mendengar tentang bagaimana ekonomi Indonesia berkembang, yang menurutnya bagus kerana ia akan mencabar Malaysia untuk meningkatkan prestasi.

Bagaimanapun, beliau menolak tanggapan bahawa Malaysia ketinggalan di belakang rakan serantau Asean itu dengan berkata, rakyat Malaysia nampaknya lebih suka memburuk-burukkan negara sendiri.

“Saya semak penilaian dunia utama yang terkini terhadap kita. Berdasarkan beberapa indeks penilaian utama dunia, sangat jelas penilaian dunia terhadap Malaysia adalah jauh lebih baik dari Indonesia,” katanya dalam catatan di Facebook.

Beliau menyebut Indeks Daya Saing Global 2022 yang meletakkan Malaysia di kedudukan ke-32 berbanding Indonesia di tempat ke-44, dan kedudukan negara yang lebih tinggi dalam Complexity Index 2022, yang mengukur kecanggihan ekonomi untuk mengguna pakai teknologi

Noor Azlan turut menyatakan bahawa Malaysia berada di tempat ke-36 dalam Indeks Inovasi Global 2021 berbanding Indonesia pada kedudukan ke-87, menunjukkan kapasiti dan keupayaan inovatif yang lebih besar.

Beliau berkata, Malaysia berada di tempat ke-62 manakala Indonesia berada pada kedudukan ke-96 dalam Indeks Persepsi Rasuah 2021.

“Bangun rakyat Malaysia. Kita ada kekuatan. Yakin dengan keupayaan kita,” serunya.

“Kalau (kita) dinilai lebih baik (berbanding) negara jiran, mengapa kita menolak penilaian dunia terhadap kita?

“Kita terlalu banyak menghabiskan masa memikir dan membincang yang buruk dan tidak baik sehingga kita lupa dan tidak percaya dengan kekuatan sendiri.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.