
Daripada keterangan diperoleh, Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim menjelaskan, kedua-dua remaja itu tiada kaitan dengan mana-mana penghuni kondominium atau pemilik parkir berkenaan.
Bagaimanapun, Azmi berkata polis kini dalam proses melengkapkan siasatan antaranya latar belakang kedua-dua remaja itu dan persekitaran mereka, selain masih menunggu laporan perubatan bagi mengetahui punca kematian.
“Keterangan dan siasatan itu perlu bagi mendapatkan kesimpulan kes sebelum melengkapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya menurut Bernama.
Pada masa sama, Azmi mengakui siasatan punca kematian dua remaja itu mengambil masa lama kerana melibatkan agensi berbeza selain pihaknya masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Kimia.
Media sebelum ini melaporkan, dua remaja dikenali sebagai Ahmad Danish Hakeem Hanafiah dan Akmalharith Damia Zainul, masing-masing berusia 19 tahun dilaporkan hilang oleh keluarga masing-masing di Klang dan Shah Alam.
Kedua-dua remaja itu ditemukan meninggal dunia dalam sebuah MPV di ruang parkir bawah tanah sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, 29 Mei lalu.