PM tak wajib ikut kehendak PN, persetujuan hanya MoA, kata ahli MKT Umno

PM tak wajib ikut kehendak PN, persetujuan hanya MoA, kata ahli MKT Umno

Razlan Rafii berkata persetujuan Ismail Sabri Yaakob bersama PN hanya memorandum perjanjian (MoA) iaitu tiada perkara perlu diikuti dengan jelas.

Dua ahli MKT Umno Razlan Rafii dan Isham Jalil mempertahankan perdana menteri susulan kekecewaan PN berhubung Ismail Sabri Yaakob didakwa tidak bersungguh memenuhi terma penting perjanjian.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak semestinya terikat dengan persetujuan dengan Perikatan Nasional (PN) memandangkan ia hanya memorandum perjanjian (MoA) sahaja, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Razlan Rafii.

Katanya, sebelum ini Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, menyatakan draf perjanjian termasuk terma berkaitan pelantikan jawatan timbalan perdana menteri bukan perjanjian, sebaliknya MoA.

Justeru, beliau berkata, apa sahaja persetujuan dibuat pastinya mengikut situasi semasa negara.

“PN menzahirkan kekecewaan kepada perdana menteri kerana tidak mengikut terma perjanjian yang ditetapkan.

“Walaupun penjelasan yang telah dibuat oleh Takiyuddin bahawa perjanjian itu hanyalah MoA, tiada perkara yang perlu diikuti secara jelas. Ianya sudah pastinya mengikut keadaan negara semasa,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga mendakwa Bersatu yang menjadi sebahagian gabungan PN sebagai punca kepada rakyat diheret ke kancah politik yang kucar kacir.

“Kegagalan Bersatu untuk menjaga kesetiaan Ahli Parlimen mereka seharusnya tidak mengheret negara ke kancah huru hara, dua Ahli Parlimen Bersatu mengkhianati Bersatu kenapa perlu negara menanggung akibatnya,” katanya.

Hari ini, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin, berkata gabungan itu kecewa dengan Ismail kerana dilihat “tidak bersungguh” memenuhi “terma-terma penting” perjanjiannya dengan gabungan itu, yang menyokong beliau menjadi perdana menteri.

Katanya, PN mahu menghantar perwakilan untuk menemui Ismail bagi membincangkan pelaksanaan “terma-terma perjanjian” dalam masa terdekat.

Sementara itu, seorang lagi ahli MKT, Isham Jalil, berkata perdana menteri tidak perlu menuruti kehendak gabungan itu yang jelas hanya mahukan jawatan.

Menurutnya, apa yang dituntut rakyat ketika ini adalah mengembalikan semula mandat kepada pengundi demi kestabilan politik dan ekonomi.

“Masih mahu tuntut jawatan TPM kah, Hamzah? Rakyat ingin kembalikan semula mandat kepada mereka. Bukan serah jawatan TPM kepada Bersatu. PM tak perlu layan mereka ini. Jika mereka ugut, kita akan lawan. Usah peduli tuntutan pelompat parti.

“Kita bubar Parlimen, serah mandat di tangan pengundi, ‘reset’ dan kembalikan kestabilan politik, dan pulihkan ekonomi secepat mungkin,” katanya di Facebook.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.