PM tak bersungguh penuhi ‘terma penting’ perjanjian, PN kecewa

PM tak bersungguh penuhi ‘terma penting’ perjanjian, PN kecewa

PN mahu hantar delegasi bertemu Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan pelaksanaan 'terma perjanjian' dalam masa terdekat.

Menurut Muhyiddin Yassin, pelantikan TPM adalah antara syarat perjanjian antara PN dan Ismail Sabri Yaakob, manakala Abdul Hadi Awang menafikan wujudnya perjanjian tersebut.
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) kecewa dengan Ismail Sabri Yaakob kerana dilihat “tidak bersungguh” memenuhi “terma-terma penting” perjanjiannya dengan gabungan itu, yang menyokong beliau menjadi perdana menteri.

Setiausaha Agung Hamzah Zainudin berkata, PN mahu menghantar perwakilan untuk menemui Ismail bagi membincangkan pelaksanaan “terma-terma perjanjian” dalam masa terdekat.

Kekecewaan itu dibincangkan dalam mesyuarat majlis tertinggi PN, yang dihadiri presiden semua parti komponen.

“Mesyuarat melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan perdana menteri yang dilihat tidak bersungguh dalam memenuhi terma-terma penting yang terkandung dalam perjanjian antara beliau dengan PN,” katanya.

Hamzah bagaimanapun tidak menyatakan terma-terma yang dikatakan itu dalam kenyataannya hari ini.

Sebelum ini didedahkan bahawa Ismail menandatangani perjanjian dengan PN sebelum naib presiden Umno itu dilantik sebagai perdana menteri ke-9 pada Ogos 2021.

Menurut salinan perjanjian yang dibocorkan baru-baru ini, jawatan timbalan perdana menteri telah dijanjikan kepada tonggak PN, Bersatu.

Pada 2 Julai, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata, beliau telah bertemu dengan Ismail untuk membincangkan pelantikan politik, termasuk jawatan timbalan perdana menteri, seperti yang dipersetujui sebelum ini apabila gabungan itu memutuskan untuk menyokong kerajaan Ismail.

Beliau juga berkata, pelantikan timbalan perdana menteri adalah antara syarat perjanjian antara PN dan Ismail.

Bekas perdana menteri Najib Razak kemudian membidas Muhyiddin kerana “tersilap keutamaan” apabila membangkitkan perkara itu pada masa rakyat sedang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menafikan wujudnya perjanjian rasmi antara PN dan Ismail, tetapi Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan kemudiannya mengaku merangka “memorandum perjanjian” antara kedua-dua pihak pada Ogos 2021.

Sementara itu, ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno dan anggota Jemaah Menteri daripada parti itu mendakwa tidak dimaklumkan mengenai perjanjian tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.