
Maximus Ongkili berkata, ia perlu segera dibentangkan susulan keputusan Dewan Rakyat yang meluluskan RUU berkenaan, hari ini.
Beliau berkata, sidang DUN khas Sabah perlu diadakan bagi membolehkan RUU berkenaan diluluskan di peringkat negeri dalam tempoh 60 hari dari sekarang.
“Tujuh ADUN kita (PBS) sedia mengetuai pembentangan RUU anti-lompat parti di peringkat DUN Sabah.
“Walaupun RUU itu telah diluluskan di peringkat Parlimen, namun ia tidak terpakai di peringkat DUN Sabah dan Sarawak. Sehubungan itu, penting untuk kedua-dua negeri membentangkan RUU berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu, berkata undang-undang itu dijangka diwartakan pada September dan ia sekali gus membolehkan politik negara kembali stabil serta lebih ramai ahli politik berprinsip dan berintegriti dilahirkan.
Menurutnya, selepas 37 tahun akhirnya perjuangan untuk kestabilan politik dapat dilakukan, bukan hanya di peringkat negeri, malah di seluruh negara.
Katanya, sebagai parti yang memperjuangkan keperluan untuk mewujudkan akta anti-lompat parti, PBS sentiasa mengutuk perbuatan wakil rakyat yang melompat parti kerana disifatkan sebagai tindakan tidak berprinsip.
“Pada saya, itu satu perbuatan yang kejam dan tidak adil. PBS telah cuba menghentikan budaya melompat parti ini dengan membentangkan undang-undang anti-lompat parti di peringkat DUN pada 1988, namun ia diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Tinggi.
“Dahulu, kita bersendirian memperjuangkan perkara ini tapi sekarang, hasil kerja keras kita berbaloi,” katanya.