Pemilihan Umno tak terkawal jika diadakan sekarang, ramal penganalisis

Pemilihan Umno tak terkawal jika diadakan sekarang, ramal penganalisis

Pemimpin kanan itu memberi amaran individu dalam kerajaan berisiko kehilangan semuanya.

Umno mengadakan perhimpunan agungnya pada Mei lalu.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno memberi amaran keadaan akan menjadi tidak terkawal, jika pemilihan parti berikutnya tidak ditangguhkan.

“Realitinya wujud kem dalam Umno, walaupun kita memberi gambaran kita sentiasa bersatu,” kata pemimpin kanan itu yang enggan dinamakan.

“Jika kita mengadakan pemilihan sekarang, ia akan menjadi tidak terkawal, tak ubah seperti musim terbuka memburu, dan membuka ruang untuk pemimpin dikritik, termasuk perdana menteri. Ini sesuatu yang kita mahu elakkan.”

Umno sedang menunggu keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) berhubung permohonannya untuk meminda perlembagaannya supaya ia boleh menunda pemilihan parti.

JPPM sepatutnya memaklumkan Umno keputusannya pada 16 Julai lalu, tetapi parti itu belum menerima sebarang jawapan sehingga kini.

Sumber itu percaya permohonan berkenaan akan diluluskan dalam minggu ini.

Beliau mendakwa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden Umno, mempunyai kedudukan untuk memastikan kelulusan itu.

Jika pindaan itu diluluskan, Umno akan dibenar menangguhkan pemilihannya sehingga enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU) atau sehingga 18 bulan dari akhir penggal pucuk pimpinannya, yang mana lebih lewat.

Jika ditolak, pemilihan parti perlu diadakan sebelum PRU15.

Sumber itu berkata, Ismail perlu mengambil risiko besar jika beliau tidak menggunakan pengaruhnya untuk memastikan permohonan itu diluluskan.

“Beliau berisiko hilang semuanya,” katanya sambil menambah pemimpin Umno jarang mengambil risiko sedemikian.

Beliau berkata, pemimpin Umno dalam kerajaan berisiko hilang paling banyak jika pemilihan parti diadakan sebelum PRU kerana kekalahan dalam pemilihan parti bermakna mereka tidak boleh bertanding atas tiket Umno pada PRU15.

Baru-baru ini, felo kanan Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir dilaporkan berkata, akar umbi menyokong pemimpinnya yang tidak berada dalam kerajaan dan mereka yang mendesak PRU15 diawalkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.