
Menurut sumber, pemimpin parti itu yang tidak mahu dinamakan, berkata keputusan dicapai selepas sesi pertemuan Muhyiddin dan Santhara, sebelum ini.
“Keputusan itu sepatutnya diumumkan presiden Muhyiddin, bagaimanapun Muhyiddin telah menerima peletakan jawatan YB Santhara sebagai ketua sayap bersekutu,” katanya kepada FMT sambil memaklumkan kenyataan rasmi mungkin dibuat parti selepas ini.
Sumber itu turut memaklumkan, jawatan ditinggalkan Santhara akan diambil alih Naib Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Chong Fat Full.
“Muhyiddin juga bersetuju untuk Chong ambil alih jawatan disandang YB Santhara sebagai ketua. YB Santhara juga akan kekal sebagai ahli Bersatu dan kekal menyokong kepimpinan Muhyiddin,” katanya.
Sebelum ini, FMT melaporkan, Ahli Parlimen Segamat itu telah menghantar surat keluar Bersatu.
Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan, bagaimanapun berkata, Santhara hanya mahu melepaskan jawatannya dan bukan keluar parti seperti didakwa.
Sementara itu, pimpinan sayap bersekutu Bersatu memaklumkan alasan diberikan Santhara yang mahu meletak jawatan sebagai ketua adalah bagi memberikan tumpuan kepada kawasan Parlimen Segamat bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).