Kerajaan tubuh ‘Gender Focal Team’ di setiap kementerian, agensi

Kerajaan tubuh ‘Gender Focal Team’ di setiap kementerian, agensi

Perdana menteri berkata langkah itu bertujuan mengarus perdana gender dalam setiap perancangan, pelaksanaan dasar dan inisiatif.

Gender Focal Team (GFT) diwujudkan bagi mengkoordinasi dan melaksanakan inisiatif mencapai kesaksamaan gender, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
PETALING JAYA:
Kerajaan bersetuju mewujudkan Gender Focal Team (GFT) di setiap kementerian dan agensi dalam meneroka potensi wanita dalam ekonomi, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, selain itu, langkah berkenaan juga bertujuan mengarus perdana gender dalam setiap perancangan, pelaksanaan dasar dan inisiatif.

“Untuk itu GFT akan mempunyai sekurang-kurangnya tujuh orang ahli bagi mengkoordinasi dan melaksanakan inisiatif untuk mencapai kesaksamaan gender,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Sosial Negara (MSN) dihadiri menteri kanan, menteri dan timbalan menteri berkaitan serta pegawai kanan kementerian, jabatan dan agensi terlibat.

Dalam pada itu, Ismail berkata, kerajaan mengambil berat berhubung soal pemerkasaan kanak-kanak lepasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menjamin masa depan mereka, di mana golongan itu berusia 18 tahun secara lazimnya tidak lagi ditanggung JKM menyebabkan ada yang tercicir.

“Untuk itu, satu pasukan khas akan diwujudkan dengan disertai oleh agensi kerajaan bagi menyediakan laluan khas kepada kanak- kanak lepasan institusi JKM untuk melanjutkan pelajaran baik dalam bidang kemahiran mahu pun akademik,” katanya.

Katanya, sehubungan itu, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan bertanggungjawab menyediakan dana pendidikan dan dana penempatan serta laluan kerjaya.

“Manakala, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menjadi penjamin bagi membantu kanak-kanak lepasan institusi yang tiada dokumen dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara. Perkeso dan Mara akan berperanan menyediakan latihan serta peluang pekerjaan selepas mereka tamat pengajian,” katanya.

Beliau berkata, kesemua bantuan itu akan diselaraskan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Sementara itu, Ismail berkata, kerajaan menzahirkan kebimbangan terhadap kes jenayah siber yang mengakibatkan kerugian RM2.21 bilion membabitkan hampir 82,000 kes, sejak 2016 hingga 2021.

“Menyedari tahap kesedaran yang masih rendah dalam kalangan masyarakat tentang risiko penipuan dalam talian, Inisiatif Pembangunan Pelan Induk Kesedaran Keselamatan Siber bagi Menangani Isu Penipuan Siber diwujudkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.