Wanita, teman lelaki direman berkait kes bayi 8 bulan mati dipercayai didera

Wanita, teman lelaki direman berkait kes bayi 8 bulan mati dipercayai didera

Kedua-duanya pasangan berumur 30 tahun direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid berkata, teman lelakinya ialah anggota polis dalam tahanan kerja manakala wanita itu jururawat persendirian bercerai dengan suaminya enam bulan lalu. (Gambar Bernama)
PANGKOR:
Seorang wanita dan teman lelakinya direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang bayi lelaki berusia lapan bulan yang disyaki didera dalam satu kejadian di Sungai Siput, Isnin lalu.

Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid berkata, perintah reman bermula semalam sehingga Isnin depan terhadap wanita bersama teman lelakinya, kedua-duanya berumur 30 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Penahanan terhadap teman lelakinya itu yang merupakan anggota polis luar negeri Perak yang dalam tahanan kerja, dilakukan di Sungai Siput.

“Wanita tersebut merupakan jururawat persendirian dan telah bercerai dengan suaminya enam bulan lepas,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Balai Polis Pulau Pangkor di sini hari ini yang turut dihadiri ADUN Pangkor, Zambry Abd Kadir.

Menurutnya, terdapat kesan kecederaan baru dan lama pada tubuh bayi tersebut dan siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca dan tempoh kecederaan.

Semalam, Ketua Polis Sungai Siput, Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin dilaporkan berkata, polis menerima maklumat berkaitan kematian bayi itu, 7.15 pagi Isnin lalu semasa dalam perjalanan ke Hospital Sungai Siput.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.