Tak dapat guna motosikal, anak ugut bunuh ibu

Tak dapat guna motosikal, anak ugut bunuh ibu

Suspek berusia 20 tahun mengamuk sambil memegang sebilah pisau selepas dilarang menggunakan motosikal.

Ketua Polis Kuala Muda Zaidy Che Hassan, berkata suspek berjaya ditahan dan didapati positif methamphetamine.
PETALING JAYA:
Hanya tidak dibenarkan menggunakan motosikal, seorang anak sanggup mengugut bunuh ibunya, dalam kejadian amuk, di Bandar Perdana, Sungai Petani, hari ini.

Dalam kejadian 2 petang, suspek bersenjatakan sebilah pisau turut mengugut mahu membunuh ahli keluarga lain kerana permintaan mahu menggunakan motosikal tidak dipenuhi.

Ketua Polis Kuala Muda Zaidy Che Hassan, berkata sebelum kejadian suspek berusia 20 tahun dilaporkan mahu menggunakan motosikal keluarganya.

“Ibunya berusia 40 tahun yang juga suri rumah tidak membenarkan suspek menggunakan motosikal kerana lelaki tersebut baharu sahaja pulang setelah tiga hari keluar rumah,” katanya menurut Sinar Harian.

Jelasnya lagi, suspek kemudian mengamuk dengan memegang sebilah pisau, mengugut mahu membunuh ibu dan ahli keluarga lain.

“Secara kebetulan, terdapat adik beradik suspek yang lain dalam rumah pada hari kejadian,” katanya.

Bagaimanapun, hasil maklumat diterima dari Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, suspek ditahan anggota MPV yang sedang melakukan rondaan.

Menurut Zaidy, saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.