
Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan Chang Kim Loong berkata, terdapat peraturan dan jaringan keselamatan yang cukup ketat untuk melindungi hak dan kepentingan pembeli rumah yang terjejas akibat kelewatan projek.
“Masalah utamanya ialah peraturan ini nampaknya tidak dikuatkuasakan. Dan itu bergantung kepada kemahuan pihak berkuasa. Jika mereka (menguatkuasakan peraturan), ia tidak dilaporkan dalam media untuk menunjukkan kesungguhan kementerian.
“Selagi peraturan tersebut tidak dikuatkuasakan, masalah ini takkan selesai,” kata Chang kepada FMT.
Menurut Chang, undang-undang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun dan denda hingga RM500,000 atau kedua-duanya bagi mereka yang meninggalkan projek tanpa disiapkan.
Pemaju turut dikehendaki meletakkan deposit sebanyak 3% daripada nilai pembangunan bagi menghalang mereka daripada meninggalkan projek.
Chang berkata, jika kerajaan bersungguh untuk meneruskan idea senarai hitam itu, lebih berkesan jika ahli lembaga pengarah pemaju terbabit turut disenarai hitam.
“Menjadi amalan biasa bagi pemaju untuk menubuhkan anak syarikat yang berasingan bagi setiap projek, jadi sekadar senarai hitam syarikat tak akan membantu,” katanya.
Beliau mengulas gesaan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan agar kerajaan menyenarai hitam pemaju yang gagal menyiapkan projek tepat pada masanya, dan menghadapkan mereka ke muka pengadilan.
Bekas timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan Raja Kamarul Bahrin berkata, kementerian perlu lebih agresif dalam melindungi pengguna.
“Pembeli rumah tak sepatutnya menanggung akibat kegagalan pemaju menyiapkan projek dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, kementerian perlu proaktif dalam mengambil tindakan terhadap pemaju yang lewat dari jadual, termasuk menghantar surat amaran kepada mereka.
“Kebanyakan perjanjian jual beli (SPA) mempunyai peruntukan yang cukup untuk menjamin hak dan kepentingan pembeli rumah dilindungi dan terdapat remedi untuk kelewatan.
“Isunya ialah kekurangan tindakan susulan oleh kementerian yang sepatutnya menguatkuasakan peruntukan yang terkandung dalam SPA.”
Raja Kamarul berkata, ancaman senarai hitam boleh memberi amaran keras kepada pemaju tetapi kerajaan mesti memastikan tindakan benar-benar diambil.