Sosma beri peluang, hak cukup untuk tahanan, kata menteri

Sosma beri peluang, hak cukup untuk tahanan, kata menteri

Hamzah Zainudin turut menegaskan Subseksyen 4(5) Sosma perlu dilanjutkan bagi memberi tempoh mencukupi untuk polis melengkapkan siasatan.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin membentangkan usul melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) buat kali kedua di Dewan Rakyat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) adalah bagi memberi peluang dan hak yang cukup untuk tahanan.

Perkara ini ditegaskan oleh Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin ketika membentangkan usul tersebut buat kali kedua di Dewan Rakyat.

“Kita tidak perlu membuat perbandingan antara Akta Kesalahan Keselamatan (ISA) 1960 dan Sosma 2012,” katanya.

“Banyak perbezaan dan perkara-perkara yang digubal untuk membuktikan Sosma ialah satu akta yang memberi peluang dan hak yang cukup untuk tahanan dari sudut undang-undang,” katanya.

Hamzah kali pertama membentangkan usul itu pada 23 Mac lepas, namun ia gagal diluluskan selepas tidak mendapat jumlah undian mencukupi ketika itu.

Dalam pembentangan kali ini, Hamzah mengusulkan ia dilanjutkan lima tahun lagi mulai 31 Julai ini bagi membolehkan pihak berkuasa terus menggunakan peruntukan kuasa khas mengikut subseksyen berkenaan.

Langkah itu akan membolehkan polis melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan mengikut Sosma sehingga 28 hari.

Hamzah menegaskan Subseksyen 4(5) perlu dilanjutkan bagi memberi tempoh mencukupi untuk polis melengkapkan siasatan dalam usaha menangani ancaman terhadap kedaulatan negara, keselamatan dan ketenteraman awam.

Selain itu, Subseksyen 4(3) akta sama menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan semata-mata atas kepercayaan atau aktiviti politiknya.

“Namun, ini tidak bermakna seseorang ahli politik itu kebal daripada siasatan bawah Sosma,” kata Hamzah.

“Sekiranya Ahli Yang Berhormat termasuklah diri saya sendiri atau sesiapa sahaja melakukan kesalahan keselamatan, maka tindakan tetap boleh diambil bawah Sosma.”

Dalam pada itu, mengulas isu tahanan tanpa bicara, beliau menjelaskan Sosma menghendaki tahanan perlu dituduh jika bukti mencukupi.

“Ini dinyatakan dengan sangat jelas dalam Seksyen 12 Sosma, iaitu semua kesalahan keselamatan hendaklah dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.