Potong gaji beri pengajaran kepada menteri, kata Muda

Potong gaji beri pengajaran kepada menteri, kata Muda

Ia sebagai pengajaran tentang bagaimana rakyat bergelut ketika ini kerana kenaikan harga barang.

Setiausaha Agung Muda Amir Abd Hadi (tengah) berkata parti akan menganjurkan himpunan lebih besar jika harga barang tidak diturunkan.
KUALA LUMPUR:
Muda mempertahankan supaya gesaan gaji menteri dipotong kesan peningkatan inflasi sambil menyifatkan ia akan menjadi pengajaran kepada mereka terhadap kegagalan menangani kenaikan harga barang.

“Ia mungkin tidak menyelesaikan isu, namun ia cukup untuk dijadikan pengajaran tentang bagaimana rakyat bergelut ketika ini kerana kenaikan harga barang,” kata Setiausaha Agung Muda Amir Abd Hadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa, yang menolak gesaan itu, semalam.

Amir bercakap kepada pemberita selepas memberi keterangan, bersama empat lagi pemimpin partinya dan aktivis, di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kerana menyertai himpunan “Turun Malaysia”, hujung minggu lalu sebagai protes kos sara hidup yang meningkat.

Empat pemimpin Muda yang dipanggil Timbalan Presiden Amira Aisya Abd Aziz, Naib Presiden Dr Thanussha Francis Xavier, Ketua Muda Perak Mutalib Uthman dan pengasas bersama parti Dr Mathen Nair.

Polis juga merekod keterangan ahli parti itu, Atiqah Umairah.

Sembilan lagi, termasuk pengasas Undi18 Qyira Yusri, Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy, dan wakil gerakan gabungan mahasiswa, Rafiq Shamir, turut dipanggil untuk diambil keterangan.

Semalam, Annuar, yang mengetuai Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, berkata tiada jaminan dengan memotong gaji menteri akan membantu mengurangkan inflasi.

Beliau juga mencabar mereka yang membuat cadangan itu menyenaraikan mana-mana negara yang melaksanakan tindakan berkenaan untuk menguruskan inflasi.

Berhubung protes, Amir berkata, Muda tidak gentar dengan tindakan pihak berkuasa.

Beliau berikrar akan menganjurkan himpunan lebih besar sekiranya kerajaan tidak memenuhi tuntutan, antara lain menuntut mengurangkan harga barang dan mengekalkan subsidi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.