Musang King bukan spesis ladang hutan dilulus untuk Gunung Inas, kata menteri

Musang King bukan spesis ladang hutan dilulus untuk Gunung Inas, kata menteri

Takiyuddin Hassan berkata, JPSM mendapati projek penanaman durian Musang King di Gunung Inas melanggar syarat penanaman ladang hutan.

Takiyuddin Hassan berkata, hanya 11 spesis tanaman boleh ditanam di Gunung Inas, antaranya akasia, batai, getah klon, balak dan jati. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan berkata durian Musang King bukan spesis pokok yang dikenal pasti untuk ditanam sebagai ladang hutan di Gunung Inas.

Beliau berkata, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) mendapati projek penanaman durian Musang King di Gunung Inas melanggar syarat penanaman ladang hutan.

“Terdapat 11 spesis (antaranya) akasia, batai, getah klon, balak, jati dan tidak termasuk durian hibrid sebagai spesis ladang hutan, tetapi ia sudah dilaksanakan di bawah kerajaan negeri Kedah seawal 2017.

“Pada 2019, kerajaan pada masa itu meluluskan penanaman durian Musang King sebanyak 20% daripada keluasan dibenarkan dan masih lagi dibenarkan,” katanya dalam sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang ingin tahu apakah kaedah penyelesaian dirancang bagi memastikan keselamatan rakyat dijamin, khususnya penduduk di sekitar Gunung Inas di Baling, susulan bencana kepala air baru-baru ini.

Bencana banjir dan kepala air yang melanda Kampung Iboi di Baling pada 4 Julai lalu meragut tiga nyawa.

Takiyuddin berkata, JPSM mencadangkan kerajaan Kedah menjadikan Gunung Inas sebagai hutan perlindungan yang berfungsi sebagai kawasan tadahan air bagi memastikan ia tidak boleh “diusik” dan dapat memberi jaminan keselamatan kepada rakyat di kawasan Baling.

Pada 2020, katanya, JPSM melalui menteri besar sekarang mengarahkan aktiviti penanaman pokok durian itu dihentikan segera.

Beliau berkata, pihaknya belum dapat mengesahkan kewujudan kolam takungan di Gunung Inas menjadi punca berlakunya banjir di Baling baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, jika cadangan menutup dan mengeluarkan air itu memberi jaminan risiko tidak berlaku banjir, maka tindakan akan diambil segera.

Tetapi katanya, ia bergantung kepada kerajaan Kedah untuk melaksanakannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.