
Begitulah luahan hati Azmawati Ab Kadir, 55, selepas selesai pengebumian anak sulungnya Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain, yang sebelum ini dilaporkan hilang sejak 29 Okt tahun lepas.
Menurutnya, tiada lagi persoalan bermain di minda selepas 10 bulan menunggu khabar berita anaknya.
“Terima kasih ya Allah, 24 tahun Allah pinjamkan dia untuk saya. Syukur Alhamdulillah, dia anak yang terbaik untuk saya,” katanya kepada pemberita selepas selesai pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Putih awal pagi ini.
Turut menemani Azmawati ialah anak bongsunya Nurul Izz Anisah Dzulkarnain, 21, dan tunang Allahyarham, Nurfaizah Mahadi, 25.
Jenazah Muhammad Iman selamat dikebumikan pada 1 pagi tadi, dengan dihadiri lebih 100 ahli keluarga dan rakan-rakan.
Sebelum van yang membawa jenazah tiba di tanah perkuburan kira-kira 12.15 tengah malam, Allahyarham dibawa ke kediaman keluarganya di Taman Air Biru pada 11.45 malam.
Jenazah terlebih dahulu dimandikan, dikafankan dan disolatkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang, sebelum dibawa pulang ke Johor selepas solat Asar.
Dua hari lepas, mayat Muhammad Iman ditemukan dalam kereta pelbagai guna (MPV) yang ditarik keluar dari Sungai Api-Api di Pekan.
Kenderaan tersebut dijumpai oleh seorang lelaki warga emas semasa mengalihkan besi dari jalan ke tepi sungai berkenaan pada 11.40 pagi, kata Ketua Polis Pekan Mohd Zaidi Mat Zin.
Sebelum ini, kisah kehilangan Allahyarham tular di media sosial sejak dia dilaporkan hilang.