Kerajaan akan semak semula pengurusan pusat beli-belah GLC, kata PM

Kerajaan akan semak semula pengurusan pusat beli-belah GLC, kata PM

Ismail Sabri Yaakob menyeru UDA Holdings Berhad menjual atau menyewakan ruang perniagaan sedia ada pada kadar mampu ditanggung usahawan Bumiputera.

Ismail Sabri Yaakob ketika berucap merasmikan sambutan ulang tahun UDA ke-50 dan pelancaran ‘Buku UDA 50 Tahun, Bersama Meneruskan Legasi’ serta penjenamaan baharu UDA ‘LIFE’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan menyemak semula pengurusan pusat beli-belah dimiliki syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya diuruskan syarikat tempatan bagi membolehkan Bumiputera menjalankan perniagaan di kawasan berkenaan.

Ismail turut menyeru UDA Holdings Berhad (UDA) menjual atau menyewakan ruang perniagaan sedia ada pada kadar mampu ditanggung usahawan Bumiputera yang berpotensi mengembangkan perniagaan mereka.

“Ini untuk membolehkan usahawan Bumiputera berniaga dalam suasana lebih selesa dan dalam masa sama meningkatkan status mereka sebagai usahawan berjaya,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan ulang tahun UDA ke-50 dan pelancaran “Buku UDA 50 Tahun, Bersama Meneruskan Legasi” serta penjenamaan baharu UDA “LIFE”.

Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Noh Omar.

Ismail memaklumkan, ketika negara berdepan tekanan inflasi, nilai jualan perdagangan borong dan runcit negara sekali lagi mencatatkan rekod baharu pada Mei dengan pertumbuhan 19.9% iaitu sebanyak RM129.8 bilion, tertinggi sejak 2013.

“Meskipun begitu, status sosio-ekonomi Bumiputera masih di tahap rendah dan penglibatan usahawan Bumiputera perlu dipertingkatkan, bukan lagi di sektor informal tetapi sektor formal seperti menjalankan perniagaan di pusat beli-belah yang disasarkan bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

“Justeru, UDA perlu menggandakan penglibatannya dalam sektor perniagaan dan hartanah bagi merancakkan semula ekonomi khususnya dalam membantu usahawan Bumiputera terus maju. Kerajaan juga sentiasa komited dalam memperkasa Bumiputera dengan peruntukan sebanyak RM11.4 bilion dalam Bajet 2022,” katanya.

Menerusi ucapannya, Ismail turut mengumumkan dana berjumlah RM100 juta kepada UDA bagi membolehkan kumpulan itu terus membangunkan pusat komersial dan membantu usahawan Bumiputera mendapatkan ruang perniagaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.