
Pengerusinya, Salahuddin Ayub (PH-Pulai) berkata, prosiding berhubung isu itu wajar dimulakan selepas beberapa usul yang dikemukakan beberapa Ahli Parlimen menurut Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2) ditolak untuk dibahas dalam Dewan Rakyat.
“Maka, jawatankuasa ini telah berbincang dan berpandangan tuntutan itu (kumpulan Sulu) adalah isu yang sangat serius dan sekiranya tidak ditangani dengan baik, berpotensi menjejaskan kepentingan negara.
“Sehubungan itu, jawatankuasa ini mengambil keputusan selaras peranannya seperti ditetapkan Dewan Rakyat untuk menjalankan peranan semak dan imbang terhadap tindakan kerajaan serta memartabatkan institusi demokrasi berparlimen,” katanya dalam sidang media di Parlimen.
Sebagai permulaan, katanya, Menteri Luar, Saifuddin Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan dipanggil untuk menghadiri prosiding itu.
Jawatankuasa itu turut dianggotai Nazri Aziz (BN-Padang Rengas), Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort), Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat), Tiong King Sing (GPS-Bintulu), Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru), Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) dan Awang Husaini Sahari (PH-Putatan).