
Beliau berkata, menerusi undang-undang itu “kita tidak lagi perlu berpura-pura” dan berpijak di bumi yang nyata.
Katanya, dengan adanya undang-undang itu, kita tidak perlu lagi bermain dengan persepsi dan perbahasan berhubung dana diterima sah atau sebaliknya.
“Akan ada kriteria dan definisi yang jelas tentang bentuk dan saluran dana politik yang sah. Perkara ini membolehkan kita menghalang dan menghukum sebarang pemberian/ penerimaan dana yang tidak mematuhi peruntukan yang jelas tersebut.
“Sebelum ini, banyak ahli politik disiasat kerana dana yang disifatkan sebagai dana politik yang datangnya dari sumber seperti syarikat korporat, kutipan orang awam malah sumbangan dari entiti luar negara. Adakah semua itu sah atau tidak, ia tidak pernah jelas kepada kita,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad dikatakan menerima RM1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), syarikat dikaitkan dengan kes rasuah bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi.
Sebelum ini, beberapa individu lain turut disebut menerima dana UKSB termasuk Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin serta Presiden Warisan Shafie Apdal.
Selain itu, bekas menteri luar Anifah Aman, bekas menteri dalam negeri Hishammuddin Hussein, dan bekas timbalan menteri luar Reezal Merican Naina Merican, juga disebut menerima dana UKSB.
Bagaimanapun, semua nama disebut menafikan pembabitan mereka dengan UKSB.
Khaled ketika mengulas lanjut, berkata penggubalan undang-undang pendanaan politik membolehkan proses semakan, audit serta laporan berkaitan dana politik diwajibkan ke atas semua parti politik.
“Amalan tersebut bukan sahaja menyebabkan pengurusan dana politik menjadi lebih telus dan tersusun, malah dapat mengelakkan sebarang penyalahgunaan dana kepada tujuan yang tidak sepatutnya,” katanya.
Katanya, pergerakan politik tidak boleh bergantung kepada sumber wang tidak jelas, diragukan serta mempunyai konflik kepentingan yang serius.
“Kita mesti beralih kepada amalan politik yang lebih matang, terbuka dan realistik,” katanya.