
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, soalan berhubung sama ada kerajaan bercadang meneruskan subsidi minyak masak tulen botol sehingga penghujung tahun ini diajukan Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.
Sabri Azit (PAS-Jerai) pula meminta Menteri Kesihatan menyatakan tindakan kementerian bagi menangani doktor media sosial yang berleluasa melariskan jualan kosmetik hingga menyebabkan kesan sampingan kepada para pengguna.
Selain itu, Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) bertanyakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenai tindakan kementerian dalam memastikan pembeli rumah pertama tidak terbeban dengan caj penuh bayaran balik pinjaman bank akibat projek rumah tergendala yang semakin menjadi-jadi pasca Covid-19.
Mujahid Yusof Rawa (PH-Parit Buntar) pula dijangka mengajukan soalan berhubung jumlah majikan yang didakwa tidak mematuhi Perintah Gaji Minimum 2022 berkuat kuasa mulai 1 Mei lepas kepada Menteri Sumber Manusia.
Selesai sesi tersebut, Kementerian Sumber Manusia dijangka membentangkan Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 untuk bacaan kali kedua serta dibahas Ahli-ahli Parlimen.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 12 hari hingga 4 Ogos.