
Dalam kenyataan bersama, Beyond Borders dan Alliance of Chin Refugees (ACR) berkata, TRIS adalah sistem yang keterlaluan dan tidak berperikemanusiaan serta boleh disalahguna.
Mereka menggesa Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin supaya berunding dengan NGO dan ketua masyarakat pelarian terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk melaksanakan sistem itu.
“Menteri dalam negeri berkata sistem itu bukan hanya menentukan di mana pelarian tinggal tetapi juga untuk ‘tujuan pekerjaan atau untuk menjalankan perkara lain’. Apakah ‘perkara lain’ ini?
“Perlindungan pelarian yang diwujudkan sentiasa berkaitan dengan soal keselamatan. Ini membimbangkan berikutan tangkapan yang dilakukan dan penahanan terhadap pelarian ketika serbuan Imigresen selain ditahan polis walaupun mempunyai kad PBB yang sah,” katanya.
Pada Sabtu, Hamzah berkata semua pemegang kad UNHCR di negara ini mesti mendaftar dengan TRIS untuk mengenal pasti lokasi mereka selepas Jemaah Menteri meluluskan penggunaan sistem itu.
Menteri dalam negeri itu berkata, sistem itu sudah melalui ujian percubaan selama beberapa tahun sebelum diluluskan untuk dilaksanakan secara besar-besaran.
Dua NGO itu menegaskan bahawa negara masih belum komited kepada mana-mana undang-undang antarabangsa yang mengawal perlindungan pelarian, sambil memberi amaran bahawa TRIS hanya akan menambah faktor risiko yang dihadapi oleh pencari suaka tersebut.
Mereka berkata, TRIS akan terus mengawal kebebasan pergerakan pelarian yang telah disekat, yang seterusnya akan menghalang mata pencarian mereka juga.
“Pelarian adalah antara orang yang paling teraniaya di seluruh dunia dan kami berharap kerajaan Malaysia tidak akan menggunakan teknologi punitif untuk merompak hak pelarian untuk mendapatkan suaka atau hidup dengan bermaruah.”