Shahril nafi terima RM1.16 juta daripada UKSB

Shahril nafi terima RM1.16 juta daripada UKSB

Ketua penerangan Umno berkata beliau sedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung perkara itu jika diminta berbuat demikian.

Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan berkata beliau langsung tidak tahu wujudnya lejar kononnya mengandungi nama ‘S Pat’ yang merujuk kepadanya.
PETALING JAYA:
Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan menafikan dakwaan beliau dan dua bekas menteri MCA menerima hampir RM10 juta derma politik daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Shahril berkata, beliau sedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung perkara itu jika diminta berbuat demikian.

“Saya menegaskan bahawa dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali,” katanya di Facebook.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu, seorang pemimpin Umno dan dua bekas menteri MCA menerima hampir RM10 juta derma politik daripada UKSB.

Pada perbicaraan rasuah Ahmad Zahid Hamidi, bekas pengurus pentadbiran UKSB David Tan memberi keterangan bahawa Shahril menerima sejumlah RM1.162 juta, seperti yang dinyatakan dalam lejar.

Shahril berkata, beliau juga langsung tidak tahu wujudnya lejar yang kononnya mengandungi nama “S Pat” yang merujuk kepada beliau.

“Saya juga tidak mempunyai sebarang pengetahuan berkenaan lejar yang kononnya mengandungi nama ‘S Pat’ mahupun kandungan lejar tersebut,” katanya.

Ketika memberi keterangan sebagai saksi di mahkamah, Tan berkata Shahril menerima bayaran bulanan sebagai derma politik dan untuk pilihan raya.

Katanya, nama kod untuk Shahril seperti yang terdapat dalam lejar ialah “S Pat”.

“(Shahril) dibayar memandangkan beliau dekat dengan Khairy Jamaluddin,” kata Tan  kepada mahkamah.

Shahril, 36, yang kini naib ketua Pemuda Umno, juga menyandang jawatan pengarah ekonomi di Pejabat Perdana Menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.