
Kuala Lumpur Northern Dispersal Expressway (KL Node) dijangka mengurangkan kesesakan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
Lebuh raya itu disifatkan sebagai penghubung terakhir dalam pelan besar sistem Jalan Lingkaran Luar KL dan akan menghubungkan Lebuh Raya KL-Kuala Selangor (Latar) dan Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE).
Sepanjang 83% daripada jajaran 24km itu akan dinaikkan bertingkat. Laluan itu akan dibina bermula dari Hulu Kelang ke estet Melawati dan Melati, Gombak, Selayang Heights sehingga berhampiran Taman Eko Rimba Kanching.
Pintu keluar masuk EKVE dan Latar masing-masing terletak berhampiran Ukay Perdana di Hulu Kelang dan Taman Eko Rimba Kanching di Rawang.
“Projek KL Node yang dijangka bermula pada 2024 itu akan menghubungkan rangkaian lebuh raya alternatif sedia ada dan menyuraikan trafik di pinggir bandar serta mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibu kota,” kata jurucakap kementerian kepada FMT.
Lebuh raya itu akan menjadi penyelesaian yang sangat diperlukan bagi kesesakan di Jalan Kuching yang mengakibatkan masa perjalanan yang panjang dan kecenderungan kepada kemalangan.
Projek KL Node ini disokong oleh Sambungan Lebuhraya Timur Sdn Bhd (SLT), yang mempunyai pejabat di Menara AZRB, bangunan sama yang menempatkan EKVE Sdn Bhd, syarikat konsesi Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE).
Jurucakap itu berkata, rundingan mengenai aspek teknikal sedang dijalankan antara kerajaan dan SLT. Turut difahamkan, HSS Engineers Berhad telah dilantik sebagai perunding bagi projek itu.
SLT, yang membina dan menyelenggara jambatan dan lebuh raya, sedang mengadakan perbincangan dengan agensi kerajaan Selangor, termasuk majlis perbandaran Ampang Jaya dan Selayang.
“(Syarikat itu) juga dalam proses menjalankan penilaian impak sosial di sepanjang jajaran yang dicadangkan itu,” kata jurucakap.
Difahamkan, Lembaga Lebuhraya Malaysia telah membentangkan butiran KL Node kepada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor pada 2017.
Ditanya sama ada projek itu mungkin melibatkan pemerolehan rumah dan hartanah lain, jurucakap itu berkata: “(Proses itu) hanya boleh dimulakan selepas perjanjian konsesi ditandatangani.”
Tertakluk kepada kelulusan akhir, jajaran yang dicadangkan itu turut akan melalui kawasan-kawasan berikut, termasuk bukit, kawasan perumahan dan kampung:
- Titik masuk/keluar EKVE berhampiran Masjid Al Ridhuan, Hulu Kelang;
- Kampung Pasir, Hulu Kelang (MRR2);
- Taman Melawati dan Taman Permata (MRR2);
- Kg Klang Gate dan Wangsa Melawati (MRR2);
- Desa Melawati, KL East dan Taman Melati (MRR2);
- Terminal Bersepadu Gombak (MRR2);
- Kampung Sungai Chinchin, Gombak;
- Seri Gombak;
- Kampung Sungai Tua;
- Taman Selayang Mutiara;
- Selayang Heights;
- Jalan KL-Ipoh (FR01); dan
- Titik masuk/keluar Latar berhampiran Taman Eko Rimba Kanching