Kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam naik 18.3%

Kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam naik 18.3%

Jumlah kemasukan pesakit kategori satu dan dua serta kategori tiga, empat dan lima ke hospital awam meningkat sebanyak 12.5% dan 25% masing-masing.

Bilangan kedatangan pesakit ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara telah meningkat sebanyak 28% antara ME ke-28 dan ME-29. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 18.3% dari ME pertama sehingga ME ke-29.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk menunjukkan tiada perubahan pada minggu epidemiologi (ME) ke-29, yang bermula dari 17 Julai hingga 23 Julai 2022 berbanding ME ke-28.

“Jumlah kemasukan pesakit kategori satu dan dua ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk pada ME ke-29 berbanding ME ke-28 meningkat sebanyak 12.5% manakala untuk kategori tiga, empat, dan lima meningkat sebanyak 25%.

“Peratus pengisian katil bukan kritikal fasiliti Covid-19 meningkat sebanyak 3% pada ME ke-29 berbanding ME-28, manakala peratus pengisian katil unit rawatan rapi (ICU) pula meningkat sebanyak 1%.

“Bagi katil Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) meningkat sebanyak 2%, manakala jumlah kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) meningkat sebanyak 0.1% setakat ME ke-29,” katanya dalam kenyataan.

Hisham berkata kes-kes positif Covid-19 masih dipantau melalui Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara, dengan bilangan kedatangan pesakit ke pusat itu telah meningkat sebanyak 28% antara ME ke-28 dan ME-29.

“Bilangan kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah meningkat sebanyak 26.9%. Bilangan kes dirujuk CAC ke PKRC dan hospital pula meningkat sebanyak 16.1%.” katanya.

Katanya kumulatif kes baharu adalah sebanyak 4,648,931 kes dengan kes aktif sebanyak 70,140 kes dicatat setakat 23 Julai, dengan kumulatif kes sembuh sebanyak 4,563,474 kes dan kes kematian sebanyak 35,911 kes.

“Kumulatif kes kluster setakat ini ialah sebanyak 7,030 dengan kluster aktif sebanyak 15 kluster dilaporkan setakat 23 Julai,” katanya.

Hisham berkata bilangan kes sembuh pada ME ke-29 ialah 22,757 kes berbanding 19,138 kes pada ME ke-28 iaitu meningkat sebanyak 18.9% manakala kes baharu pada ME ke-29 pula ialah 29,886 kes berbanding 26,335 kes pada ME ke-28, meningkat sebanyak 13.5%.

Katanya bilangan kes tempatan dalam tempoh berkenaan pula meningkat sebanyak 13.5% iaitu dari 26,317 kes kepada 29,858 kes, bilangan kes import menurun sebanyak 26.3% iaitu 38 kes kepada 28 kes serta bilangan kes kematian meningkat sebanyak 61.5% iaitu 39 kes kepada 63 kes.

“Purata kes aktif pada ME ke-29 berbanding ME ke-28 meningkat sebanyak 19.5%, iaitu 45,542 kes dan purata nilai RT turut meningkat sebanyak 19.5% pada tempoh yang sama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.