Ahli Parlimen gesa kerajaan perluas tafsiran ‘suri rumah’ kepada lelaki

Ahli Parlimen gesa kerajaan perluas tafsiran ‘suri rumah’ kepada lelaki

Ahli Parlimen Jempol Mohd Salim Sharif berkata realiti hari ini lelaki bergelar suami menjadi suri rumah sepenuh masa bukan perkara asing.

Ahli Parlimen Jempol Mohd Salim Sharif berkata tafrisan itu perlu diperluaskan supaya lelaki yang menjadi suri rumah mendapat hak perlindungan. (Gambar Freepik)
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen menggesa kerajaan memperluaskan tafsiran suri rumah kepada lelaki yang menjadi suri rumah sepenuh masa supaya mereka tidak didiskriminasi.

Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) berkata, ini kerana ketika ini bilangan lelaki menjadi suri rumah juga meningkat.

“Realiti hari ini lelaki bergelar suami menjadi suri rumah sepenuh masa bukan perkara asing. Mula diterima dalam masyarakat.

“Situasi itu semakin meningkat melalui persetujuan bersama atas pelbagai faktor tak dapat elak seperti pendapatan isteri lebih tinggi berbanding suami atau suami kehilangan pekerjaan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 di Dewan Rakyat.

Salim berkata, tafsiran itu perlu diperluaskan supaya lelaki yang menjadi suri rumah mendapat hak perlindungan.

Katanya, secara umum beliau menyokong langkah kerajaan menyediakan jaringan keselamatan sosial untuk suri rumah.

RUU Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 akan diwujudkan bagi tujuan memberi perlindungan kepada isteri yang dikenali sebagai Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

RUU itu menyebut suri rumah yang mencarum dalam skim berkenaan berhak mendapat faedah hilang upaya seperti perubatan, faedah hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, pencen penakat dan faedah pengurusan mayat.

Suri rumah berinsurans atau orang tanggungannya juga berhak kepada faedah keilatan iaitu elaun keuzuran, elaun layanan sentiasa, pencen penakat serta faedah pengurusan mayat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.