
“Niat Kementerian Kewangan memperbaiki pemberian subsidi petrol sudah baik, namun ia hanya langkah kecil saja,” kata ketua penerangannya, Wan Saiful Wan Jan.
“…kerana apa yang kita perlukan ialah ‘welfare reform’ yang lebih menyeluruh yang mesti kita mulakan segera jika kita mahu pastikan kelestarian program bantuan kerajaan.”
Sambil menyambut baik kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berhubung agihan subsidi bersasar, Wan Saiful berkata, kerajaan perlu memastikan tiada individu layak daripada tertinggal menerima bantuan.
Katanya, sepatutnya kerajaan mempermudahkan proses pendaftaran agar pemohon hanya perlu mengisi satu borang sahaja bagi mendapatkan bantuan dari agensi berbeza.
“Sehingga kini juga, masih ada rakyat yang tidak tahu cara untuk memohon, malah ada yang tidak tahu sama ada mereka layak atau tidak menerima bantuan. Ini memerlukan kerjasama antara kementerian dan antara agensi termasuklah LHDN, KWSP, JKM dan lain-lain lagi,” katanya.
Wan Saiful ketika mengulas lanjut berkata, kerajaan boleh mengambil pengajaran daripada pengalaman United Kingdom yang menyusun semula pelbagai bentuk bantuan kerajaan.
“Kita juga boleh ambil pengajaran daripada pengalaman United Kingdom bermula tahun 2010 menyusun semula pelbagai bentuk bantuan kerajaan dan menyatukan beberapa skim menjadi satu skim baharu yang dipanggil ‘Universal Credit’,” katanya.
Beliau mencadangkan langkah sedemikian susulan jawapan bertulis daripada Tengku Zafrul kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, di mana menyatakan kumpulan T20 menikmati kira-kira RM8 bilion subsidi minyak, berbanding RM6 bilion dimanfaatkan B40.