Nahas 5 maut: Anak bongsu hilang ibu ayah, kakak, abang ipar sekelip mata

Nahas 5 maut: Anak bongsu hilang ibu ayah, kakak, abang ipar sekelip mata

Muhammad Naim Mohd Rodhi berkata dia juga kehilangan anak saudara berusia enam tahun selepas trak pikap hilang kawalan dan bertembung dengan Perodua Alza dinaiki lima ahli keluarganya.

Trak pikap jenis Toyota Hilux hilang kawalan dan bertembung Perodua Alza menyebabkan lima maut dalam kemalangan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, petang semalam. (Gambar Facebook)
GERIK:
Memori menghadiri konvokesyen menjadi kenangan terakhir bagi Muhammad Naim Mohd Rodhi sebelum ibu dan bapanya maut dalam nahas jalan raya di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, petang semalam.

Anak bongsu berusia 26 tahun itu berkata, dia menerima panggilan daripada ahli keluarganya petang semalam, memaklumkan mengenai kemalangan tersebut yang turut mengorbankan kakak, abang ipar dan anak saudaranya.

“Saya terkejut dan tidak sangka mereka semua terlibat dalam kemalangan itu. Kali terakhir saya berjumpa dengan ibu dan ayah sewaktu mereka menghadiri majlis konvokesyen saya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam sebulan lalu.

“Masa tu saya tidak nampak apa-apa perubahan ayah dan ibu. Saya reda dengan takdir yang menjemput mereka,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Gerik, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3.45 petang semalam, lima yang maut ialah Mohd Rodhi Othman, 64, Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59, Ahmad Khomaini Baba, 32; Siti Aishah Mohd Rodhi, 32 dan Zara Hana Ahmad Khomaini, 6, apabila kereta Perodua Alza yang dinaiki bertembung dengan trak pikap Toyota Hilux.

Siasatan awal polis mendapati, trak pikap jenis Toyota Hilux hilang kawalan dan bertembung dengan Perodua Alza dinaiki lima sekeluarga itu.

Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid, berkata akibat hilang kawalan, Toyota Hilux itu telah masuk ke arah jalan bertentangan lalu bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) itu yang dalam perjalanan dari arah Jeli ke Gerik.

Difahamkan sebelum itu, keluarga Naim dalam perjalanan pulang ke Butterworth selepas menghantar ahli keluarga mereka mendaftar masuk, di sebuah sekolah pondok di Pasir Tumboh, Kelantan, awal pagi semalam.

Naim yang bekerja sebagai penjaga padang di Shah Alam, Selangor, berkata semua jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Haji Abdul Rashid, Sungai Dua, Butterworth, petang ini.

Dalam pada itu, suasana muram menyelubungi Unit Forensik, Hospital Gerik apabila ahli keluarga mangsa datang untuk menuntut jenazah mangsa sejak awal pagi tadi.

Kelihatan juga Ketua Polis Gerik Zulkifli Mahmood yang membantu mempercepatkan urusan menuntut jenazah dan menurutnya, empat van digunakan bagi membawa jenazah sejak 11.30 pagi tadi untuk dikebumikan di Sungai Dua, Butterworth.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.