Nasib MoU PH-kerajaan bergantung sejauh mana janji dipenuhi, kata Guan Eng

Nasib MoU PH-kerajaan bergantung sejauh mana janji dipenuhi, kata Guan Eng

Pengerusi DAP berkata, antara keutamaan PH ketika memeterai MoU itu ialah pembentangan RUU anti-lompat parti, peruntukan tambahan RM45 bilion bagi membantu rakyat dan pembaharuan Parlimen.

Lim Guan Eng berkata, PRU15 boleh diadakan selepas semua tuntutan dalam MoU itu dipenuhi, tetapi PH lebih suka ia diadakan tahun depan kerana rakyat masih berada dalam keadaan susah.
PETALING JAYA:
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, nasib memorandum persefahaman (MoU) antara Putrajaya dan Pakatan Harapan (PH) bergantung kepada janji yang ditunaikan kerajaan.

Beliau berkata, antara keutamaan PH ketika memeterai MoU itu ialah pembentangan Rang Undang-undang (RUU) anti-lompat parti, peruntukan tambahan RM45 bilion bagi membantu rakyat dan pembaharuan Parlimen.

“Jadi, kami perlu melihat sejauh mana keberkesanan kerajaan dalam memenuhi tuntutan ini. Tarikh akhir 31 Julai hanya untuk tidak membubarkan Parlimen bagi mengadakan pilihan raya umum (PRU).

“RUU anti-lompat parti boleh diluluskan dalam sidang Dewan Rakyat semasa, tetapi ia perlu melalui Dewan Negara sebelum mendapat perkenan Agong untuk undang-undang itu diwartakan.

“Kita perlu memantau tindakan diambil kerajaan sebelum mengambil keputusan sama ada menamatkan atau melanjutkan MoU itu,” katanya kepada FMT.

Lim berkata, PRU15 boleh diadakan selepas semua tuntutan ini dipenuhi, tetapi tegasnya PH lebih suka ia diadakan tahun depan kerana rakyat masih berada dalam keadaan susah.

“Kenaikan kos sara hidup, masalah kekurangan pekerja yang serius dan penyusutan nilai ringgit belum diselesaikan lagi. Isu-isu ini perlu diutamakan kerana ia lebih penting daripada mengadakan PRU15.”

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin PH memeterai MoU itu pada September 2021 dalam usaha meningkatkan pemulihan ekonomi dan memulihkan kestabilan politik ketika kerajaan menguruskan pandemik Covid-19.

Walaupun MoU itu tidak mempunyai tarikh luput, ia menyatakan kerajaan dan PH bersetuju untuk tidak mengadakan PRU15 sebelum 31 Julai ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.