
Perintah reman dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman, di Mahkamah Majistret Kemaman, Terengganu, selama lima hari bermula hari ini.
Suspek akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, menurut Astro Awani.
Sementara itu, Ketua Polis Kemaman, Hanyan Ramlan, berkata terdahulu suspek ditahan kira-kira 6 petang semalam, di sebuah kediaman di Kampung Perasing Jaya, Jabor, Kemaman.
Katanya, hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan turut mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah.
Beliau berkata, susulan itu pihaknya turut menahan lima lagi individu berusia 18 hingga 25 tahun dan semua mereka juga direman selama enam hari bermula semalam.
Pada Jumaat, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun melecur dari leher sehingga bahagian badan selepas dipercayai dibakar rakannya kerana dituduh mencuri RM100.
Mangsa kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, Pahang.