‘Demi nama baik’ ADUN, kontraktor buat laporan nafi guna peledak tangkap ikan

‘Demi nama baik’ ADUN, kontraktor buat laporan nafi guna peledak tangkap ikan

Mohd Rosli Awang, 44, berkata beliau melempar mercun bola sekadar suka-suka ke sungai, bukannya peledak bom seperti dakwaan tular.

Baru-baru ini tular di media sosial berhubung tindakan seorang wakil rakyat yang didakwa menggunakan peledak untuk menangkap ikan di Sungai Sepia, Ulu Tembeling sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang kontraktor membuat laporan polis sebagai langkah “menjaga nama baik” ADUN yang tular didakwa menggunakan bahan peledak bom untuk menangkap ikan di Sungai Sepia, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang.

Mohd Rosli Awang, 44, mengaku melempar mercun bola ke sungai sekadar suka-suka, bukannya bahan peledak bom seperti dikatakan.

“Memang saya yang lempar mercun bola ke dalam sungai, bukan ADUN Pulau Tawar Nazri Ngah seperti yang tular di media sosial sejak minggu lalu,” katanya menurut Harian Metro.

Katanya, dia membawa mercun bola itu sebagai perlindungan daripada ancaman binatang buas khususnya di kawasan Ulu Tembeling ketika mengikuti rombongan wakil rakyat itu.

Rosli ketika mengulas lanjut berkata, dia menggunakan enam biji mercun bola dalam kejadian itu, tetapi hanya dua sahaja meletup.

“Saya lempar mercun bola itu pun bukan untuk menangkap ikan, tetapi sekadar suka-suka sahaja. Perbuatan saya tidak ada kena-mengena dengan pihak lain khususnya wakil rakyat setempat yang dalam rangka lawatan kerja ke Ulu Tembeling pada 15 dan 16 Julai,” katanya.

Katanya, rombongan itu bertujuan meninjau persiapan akhir pelaksanaan projek jalan dan juga pembangunan sektor pelancongan di kawasan Ulu Tembeling.

“Justeru, bagi menjaga nama baik wakil rakyat itu, saya membuat laporan di Balai Polis Nilai, Negeri Sembilan, semalam bagi menafikan menggunakan bom peledak bagi mendapatkan ikan.

“Dalam hal ini wakil rakyat berkenaan langsung tidak terbabit kerana tindakan saya tidak mendapat arahan mana-mana pihak,” katanya.

Baru-baru ini, tular di media sosial berhubung tindakan seorang wakil rakyat yang didakwa menggunakan peledak untuk menangkap ikan di Sungai Sepia, Ulu Tembeling sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

Kebanyakan warganet menganggap perbuatan itu tidak beretika dan bertanggungjawab.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.