
Pentadbir Facebook rasmi Khalid berkata, keutamaan melawat diberikan kepada ahli keluarga kerana beliau kini sangat sensitif dengan persekitaran luar.
“Kami dan pihak keluarga menerima banyak permohonan daripada teman rapat Tan Sri untuk berziarah bagi memberi kata-kata semangat dan sokongan.
“Kami amat menghargai hasrat dan niat teman sekalian. Tetapi, memandangkan keadaan Tan Sri yang sangat sensitif terhadap persekitaran luar, pihak hospital mengenakan SOP sangat ketat dan jumlah pelawat juga terhad dan kami dahulukan ahli keluarga sahaja,” menurut catatan Facebook itu.
Katanya, keluarga Khalid meminta semua pihak memberi ruang kepada mereka dan mendoakan kesihatannya pulih seperti sedia kala serta mereka diberikan kekuatan dan kesabaran tinggi untuk menghadapi ujian besar ini.
“Bagi pihak Tan Sri, kami mengucapkan jutaan terima kasih tidak terhingga ke atas doa yang tidak putus-putus dari teman-teman dan seluruh rakyat Malaysia demi kesembuhan Tan Sri.”
Mei lalu, keadaan Khalid dilaporkan kembali stabil selepas dimasukkan ke sebuah hospital swasta akibat jangkitan paru-paru.
Jumaat lalu, bekas setiausaha politiknya, Faekah Husin memaklumkan Khalid dalam keadaan tidak sihat dan sedang menerima rawatan.