Audit forensik sedang dibuat ke atas syarikat bungkus minyak masak bersubsidi

Audit forensik sedang dibuat ke atas syarikat bungkus minyak masak bersubsidi

Annuar Musa berkata, beliau tidak akan sesekali membiarkan sistem yang terlalu longgar sehingga menyebabkan ketirisan dan akhirnya rakyat teraniaya.

Annuar Musa berkata, pihaknya akan memeriksa jumlah pengeluaran minyak masak bersubsidi dan melakukan analisis sama ada kaedah yang digunakan ketika ini boleh diperbaiki atau dirombak. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Kerajaan sedang melakukan audit forensik terhadap semua syarikat yang diberikan lesen pembungkusan minyak masak bersubsidi bagi memastikan mereka tidak bersekongkol dalam aktiviti penyeludupan.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Annuar Musa berkata, pihaknya akan memeriksa jumlah pengeluaran bahan mentah itu dan melakukan analisis sama ada kaedah yang digunakan ketika ini boleh diperbaiki atau dirombak.

“Saya tegaskan, sekiranya semua pihak tidak memberikan kerjasama dan mendapati masih lagi menyeludup minyak masak bersubsidi, maka pilihan kita adalah merombak keseluruhan sistem tersebut.

“Tetapi, pada masa ini, kita belum mengambil pendekatan itu kerana akan membuat penyiasatan terlebih dahulu. Kalau boleh, kita tidak mahu mengganggu orang yang hendak melabur dalam membuat kilang sebab mereka sudah ada rangkaian sendiri dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Karnival Digital Kementerian Komunikasi dan Multimedia sempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV semalam.

Annuar yang juga menteri komunikasi dan multimedia berkata, beliau tidak akan sesekali membiarkan sistem yang terlalu longgar sehingga menyebabkan ketirisan dan akhirnya rakyat teraniaya.

“Kerajaan membelanjakan RM4 bilion untuk menampung kos subsidi bahan mentah ini. Jadi, kalau yang RM4 bilion tu pergi ke Thailand atau Indonesia, ia tidak adil kepada rakyat sebab ia juga wang rakyat yang mesti sampai kepada rakyat.”

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata, kerajaan masih mengekalkan subsidi minyak masak sebanyak RM4 bilion untuk tahun ini bagi menanggung kategori minyak masak kampit 1kg.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.