
Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim, berkata hasil semakan identiti melalui cap jari wanita berkenaan mendapati dia bukan orang hilang (OH) yang dicari.
“Pihak polis Ibu Pejabat Daerah Shah Alam telah membawa wanita berkenaan ke Jabatan Pendaftaran Negara (UTC Shah Alam) dan hasil semakan mendapati wanita tersebut bukanlah OH yang dicari. Pengecaman oleh ahli keluarga juga didapati negatif,” katanya dalam kenyataan.
Setakat ini, dua wanita dikatakan mirip Zalina, telah ditemui masing-masing di Shah Alam dan Sentul, pada Rabu dan Jumaat.
Individu didakwa dilihat di tiga lokasi di Seksyen 3, 9 dan 14, di sini disahkan seorang gelandangan, manakala wanita ditemui di kawasan Jalan Haji Salleh, Sentul pada 6 petang pada Jumaat itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
Iqbal berkata, pihaknya mengalu-alukan bantuan orang ramai untuk mencari OH dan sebarang maklumat lanjut boleh disalurkan kepada Penolong Pegawai Penyiasat, Sabturia, di talian 016 3375269.
Polis percaya Zalina, 58, masih berada dalam negara susulan tiada pergerakan keluar membabitkan wanita itu yang dikesan pihak berkuasa setakat ini.
Polis menerima laporan mengenai kehilangan wanita itu daripada anaknya Mikhael Norman, 33, pada 29 Nov tahun lalu yang cuba menghubunginya sejak 24 Nov 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi.