Rugi RM2 bilion akibat kekurangan buruh, kata pengeluar alat ganti kereta

Rugi RM2 bilion akibat kekurangan buruh, kata pengeluar alat ganti kereta

Industri itu menyumbang 2% kepada KDNK negara dan kesan kelembapan dalam operasi juga menyebabkan kelewatan dalam penghantaran kenderaan.

Pengeluar alat ganti berkata, kira-kira RM5 bilion alat ganti automotif (tidak termasuk tayar) dieksport ke lebih 60 negara di seluruh dunia setiap tahun.
PETALING JAYA:
Kekurangan tenaga kerja sejak dua tahun lalu menyebabkan pengeluar alat ganti automotif mengalami kerugian sebanyak RM2 bilion dalam eksport setahun, menurut Persatuan Pengeluar Peralatan Komponen Automotif Malaysia (Macpma).

Presidennya, Chin Jit Sin berkata, industri itu menyumbang 2% kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia dan kesan kelembapan dalam operasi juga menyebabkan kelewatan dalam penghantaran kenderaan.

“Industri alat ganti automotif menyumbang RM26.2 bilion pada 2019 dan mengeksport kira-kira RM5 bilion alat ganti (tidak termasuk tayar) ke lebih 60 negara di seluruh dunia setahun.

“Industri amat bimbang kekurangan buruh menyebabkan kerugian jualan eksport kira-kira RM2 bilion setahun kerana pengeksport terpaksa menolak tempahan disebabkan kebanyakannya beroperasi pada tahap 60-70% daripada kapasiti pemasangan kilang,” katanya dalam surat kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Chin berkata, kekurangan buruh yang serius menjejaskan pemulihan ekonomi industri permotoran, menyebabkan pengeluaran rendah kerana pengilang tidak mampu mengeluarkan produk pada kapasiti lebih tinggi.

“Industri pembuatan kereta memerlukan operasi 100% untuk membina sebuah kereta, yang mempunyai ribuan alat ganti dibuat ratusan vendor secara keseluruhan.

“Kos masa henti dan gangguan kepada operasi akibat kekurangan buruh adalah malapetaka dan keadaan ini menyebabkan ramai pembeli kereta terpaksa menunggu lebih lama untuk penghantaran kenderaan mereka.”

Katanya, industri itu sedang menunggu bantuan Miti untuk menyelesaikan masalah kekurangan buruh yang serius.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.