2 kanak-kanak Rohingya lemas, rakan panik tak maklum kejadian

2 kanak-kanak Rohingya lemas, rakan panik tak maklum kejadian

Mayat mangsa masing-masing berusia 11 dan 14 tahun ditemui pagi tadi.

Mayat mangsa dikenali sebagai Mahmod, 11 dan Nojumullah Bibir Ahmad, 14, ditemui pada 9.50 dan 10.35 pagi tadi. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Mayat dua kanak-kanak Rohingya yang lemas di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru, ditemui pagi tadi selepas kejadian itu yang berlaku semalam, disembunyikan lapan kanak-kanak lain kerana panik.

Kejadian pada 2 petang itu, hanya diketahui ahli keluarga lewat petang semalam, apabila mangsa tidak pulang ke rumah, sebelum mencari rakan yang mandi bersama dan menyaksikannya, tetapi menyembunyikan kejadian itu.

Mayat mangsa dikenali sebagai Mahmod, 11 dan Nojumullah Bibir Ahmad, 14, ditemui pada 9.50 dan 10.35 pagi tadi.

Komander Operasi Bomba Skudai, Mohd Riduan Akhyar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, 5.24 pagi tadi.

“Difahamkan, dua mangsa ini bersama lapan lagi rakannya melakukan aktiviti mandi di sungai pada 2 petang semalam. Apabila mereka dipercayai lemas, rakan mangsa yang lain panik dan bertindak mendiamkan diri.

“Apabila dua mangsa ini tidak pulang ke rumah, bapa mereka mencari rakan-rakan mangsa dan apabila didesak, mereka memaklumkan mangsa lemas ketika mandi,” katanya menurut Berita Harian.

Riduan berkata, pihaknya membuat pencarian mayat mangsa berdasarkan kepada lokasi akhir mereka mandi yang diberitahu rakan mangsa.

“Mayat mangsa pertama dijumpai pihak bomba ketika membuat pencarian di permukaan air pada 9.50 pagi, sejauh 50m dari lokasi terakhir mangsa dipercayai lemas.

“Manakala, mangsa kedua dijumpai apabila pihak bomba membuat penyelaman dalam radius 100m pada 10.35 pagi, juga kira-kira 50m dari lokasi terakhir. Kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.