
Ahli Parlimen Sepanggar Mohd Azis Jamman, berkata banyak persoalan disuarakan dalam perjumpaan itu mengenai isu berkenaan, namun ia masih tidak dijawab oleh pihak kerajaan.
“Kami masih berpandangan bahawa perlu ada perdebatan dan perbahasan dalam Parlimen walaupun sudah mendengar taklimat semalam (Khamis).
“Secara jujur kami tidak puas hati sebab banyak persoalan kita suarakan tidak dijawab tetapi mungkin disebabkan faktor masa. Sebab itu perlu ada perbahasan dan sebagai ahli Parlimen, saya ingin menyatakan kepada kerajaan bahawa kami tahu had kami,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Katanya, tidak mungkin Ahli Parlimen akan menyuara atau membahaskan sesuatu perkara yang boleh mengganggu gugat strategi negara untuk melawan tuntutan waris Kesultanan Sulu.
Azis ketika mengulas lanjut berhubung taklimat, semalam, berkata pertemuan itu hanya berkaitan rentetan peristiwa tuntutan waris Kesultanan Sulu dan ia bukan sesuatu yang rahsia.
“Malah, Sulu pun sudah tahu dari segi rentetan sejarahnya, sebab itu kita inginkan perbahasan dilakukan kerana kalau Parlimen di Filipina mereka terang-terangan menyuarakan bahawa mereka akan menuntut Sabah kerana itu sebahagian dari wilayah mereka,” katanya.
Beliau berkata, Parlimen tidak sepatutnya menjadi “bacul” mengambil kira Filipina secara terbuka mahu menuntut Sabah, sekali gus tidak menghormati kedaulatan negara.
“Jadi, kami suarakan semalam kalau Filipina secara terbuka menyuarakan perkara ini seolah-oleh mereka tidak menghormati kedaulatan negara kita. Sebab apa Parlimen Malaysia terasa bacul, apa sebab kerajaan Malaysia bacul dalam usaha mempertahankan (kedaulatan negara),” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis berharap ada reaksi positif daripada kerajaan menerusi pertemuan yang diadakan itu.
“Saya rasa Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Presiden Warisan) malam tadi pun ada bagi sedikit pandangan untuk kita harus bahaskan. Saya harap kerajaan menerimanya untuk kita bahaskan isu keselamatan ini,” katanya.
Sebelum itu, satu taklimat tertutup berlangsung, semalam, di sebuah hotel di ibu negara yang dihadiri oleh Ahli Parlimen; Peguam Negara Idrus Harun; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Maximus Ongkili dan beberapa barisan menteri Kabinet lain.