Suami isteri ditahan disyaki, dera anak angkat 4 tahun enggan makan nasi

Suami isteri ditahan disyaki, dera anak angkat 4 tahun enggan makan nasi

Pasangan itu merupakan seorang wanita tempatan dan lelaki warga Singapura dalam lingkungan 28 hingga 30-an.

Tangkap layar daripada video tular menunjukkan seorang wanita menggunakan penyapu untuk memukul seorang kanak-kanak.
PETALING JAYA:
Sepasang suami isteri ditahan bagi membantu siasatan kes penderaan seorang kanak-kanak empat tahun yang dipercayai dipukul dengan penyangkut baju, batang penyapu dan dicucuh dengan pemetik api.

Pasangan itu merupakan seorang wanita tempatan dan lelaki warga Singapura dalam lingkungan 28 hingga 30-an.

Ketua Polis Daerah Kajang, Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada seorang lelaki berusia 20 tahun pada 12.14 tengah malam tadi.

“Kejadian itu dikatakan berlaku pada 18 Julai di sebuah taman perumahan di Beranang,” katanya dalam kenyataan.

“Mangsa yang merupakan anak angkat kepada suami isteri terbabit, dicederakan atau didera oleh pasangan tersebut.

“Siasatan awal mendapati kejadian itu disebabkan mangsa tidak suka makan nasi dan suspek memaksa mangsa telan nasi sehingga termuntah serta kanak-kanak ini dikatakan hiperaktif.”

Zaid berkata, mangsa merupakan anak kepada warganegara Indonesia, yang mana kelahirannya tidak didaftarkan dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

“Mangsa diserahkan kepada suspek untuk dijaga sejak April 2022 kerana ibu kandungnya tidak mampu menjaganya.”

Katanya, mangsa diselamatkan pada 2.30 pagi tadi sebelum dibawa ke Hospital Kajang dan hasil pemeriksaan doktor mendapati mangsa cedera di beberapa bahagian badan.

Beliau berkata, pasangan itu direman tujuh hari sehingga 28 Julai ini untuk disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Suresh Krishnan 017-433 3795 atau mana-mana balai polis terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.