
Justeru, beliau menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menyemak semula peruntukan bagi program bantuan makanan itu dengan menaikkan kadar RMT kepada RM4 bagi Semenanjung dan RM5 bagi Sabah dan Sarawak.
Katanya, semakan Bahagian Pemakanan KKM (Kementerian Kesihatan) di sekolah seluruh negara juga mendapati hanya 61% mematuhi kriteria menu sihat yang ditetapkan kementerian.
“Peruntukan sedia ada untuk RMT RM2.50 (Semananjung) dan RM3 (Sabah dan Sarawak) sebenarnya tidak cukup untuk menampung bahan mentah ikut menu RMT yang disediakan KKM dan ini disebabkan oleh peningkatan kos bahan mentah.
“Jadi, KKM mencadangkan KPM dapat tingkatkan kos peruntukan RMT bagi memastikan kanak-kanak dapat makanan berkhasiat,” katanya pada sidang media.
Khairy berkata, isu kadar RMT rendah tidak harus diletakkan di bawah KPM semata-mata, sebaliknya kerajaan persekutuan digesa menambah peruntukan bagi kementerian itu agar program makanan percuma dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh semua pihak.
“Saya akan bangkitkan isu ini di dalam Kabinet, ia bukan salah KPM kerana peruntukan KPM memang tidak cukup, isunya adalah kerana kenaikan kos harga bahan mentah. Jika tidak ditambah, kanak-kanak tidak akan dapat makan sihat di sekolah,” katanya.
Sebelum ini, pengusaha kantin merayu kerajaan mengkaji semula peruntukan untuk RMT kerana kadar bayaran setiap hidangan itu tidak lagi memadai ketika ini, tambahan mereka perlu menyediakan hidangan berkualiti untuk murid.
RMT dilaksanakan sejak 1979 sebagai makanan tambahan kepada pelajar sekolah rendah daripada keluarga berpendapatan rendah bagi memperbaiki kesihatan, fizikal dan amalan pemakanan mereka.
Kadar RMT ketika ini ialah RM2.50 untuk pelajar di Semenanjung dan RM3 bagi pelajar di Sarawak, Sabah serta Labuan.