Polis serah Perhilitan siasat dakwaan YB tangkap ikan guna peledak

Polis serah Perhilitan siasat dakwaan YB tangkap ikan guna peledak

Ia susulan tularnya video wakil rakyat berkenaan berkenaan menggunakan peledak untuk menangkap ikan di Sungai Sepia, Ulu Tembeling, Jerantut.

Ketua Polis Jerantut, Mazlan Hassan berkata, polis menerima laporan mengenai dakwaan itu dan menyerahkan kepada Perhilitan untuk siasatan awal. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis menyerahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk membuat siasatan awal berhubung laporan diterima membabitkan seorang wakil rakyat di Pahang yang didakwa menggunakan bahan peledak untuk menangkap ikan di Sungai Sepia, Ulu Tembeling, Jerantut.

Ketua Polis Jerantut, Mazlan Hassan berkata, pihaknya telah menerima laporan mengenai dakwaan itu selepas tular di media sosial.

“Polis sedia maklum bahawa video tular berkait penangkap ikan yang dipercayai menggunakan bahan peledak tular di media sosial dan menyerah kepada Perhilitan untuk siasatan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Baru-baru ini tular di media sosial berhubung tindakan seorang wakil rakyat yang didakwa menggunakan peledak untuk menangkap ikan di Sungai Sepia, Ulu Tembeling sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

Kebanyakan netizen menganggap perbuatan itu tidak beretika dan bertanggungjawab.

Dalam pada itu, penduduk yang enggan dikenali mendakwa, kejadian itu berlaku pada 16 Julai ketika dia sedang membawa sekumpulan pelancong untuk memancing di Sungai Sepia.

Menurutnya, dia mendengar letupan agak kuat sebanyak dua kali secara berselang.

“Saya mendapati bunyi letupan anggaran jarak 20 meter dan ternampak sekumpulan pemancing cuba mencucuh bahan letupan dipercayai untuk tujuan menangkap ikan.

“Saya terkejut dengan kejadian itu kerana perbuatan itu adalah tidak wajar. Saya sangat marah dan menjerit ke arah kumpulan terbabit yang dipercayai turut disertai oleh seorang wakil rakyat.” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.