
Kumpulan itu juga mengecam kurangnya tindakan dikenakan terhadap Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman selepas menuduh Ahli Parlimen DAP wanita tidak senonoh, selain penggunaan kata-kata kasar jauh daripada mikrofon.
Apabila didesak untuk tindakan diambil terhadap Tajuddin, semalam, Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun, berkata beliau akan berbincang dengan Timbalan Speaker Rashid Hasnon, yang mempengerusikan sesi ketika perbalahan berlaku.
Dalam kenyataannya, kumpulan itu mempersoalkan mengapa wakil rakyat Umno itu dilepaskan hanya dengan amaran, manakala Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis, digantung selama dua hari kerana berkeras mahu perbahasan berhubung isu timbang tara Sulu.
Katanya, tindakan tidak adil terhadap dua Ahli Parlimen berkenaan menunjukkan pertimbangan buruk dibuat timbalan speaker dan juga Peraturan Mesyuarat tidak dilengkapi untuk menghukum Ahli Parlimen yang melontarkan kenyataan menyinggung di Dewan Rakyat.
SCPP mahu Peraturan Mesyuarat 36 dipinda untuk secara automatik merujuk mana-mana Ahli Parlimen yang membuat kenyataan seksis, perkauman dan menyinggung kepada jawatankuasa hak dan kebebasan.
Katanya, Peraturan Mesyuarat juga mesti memperuntukkan denda sekurang-kurangnya RM500 dengan hukuman ditingkatkan sekiranya kesalahan berulang, termasuk penggantungan.
“Walaupun ungkapan seksis, perkauman, khianat, subversif dan menyinggung semuanya dalam merupakan kelakuan ‘tidak tertib’ mengikut Peraturan Mesyuarat 36(4) dan (10), tiada penalti diperuntukkan. Justeru, pesalah akan terlepas dengan hanya perlu menarik semula kenyataan dan meminta maaf.
“Demi memastikan kecekapan menangani keceluparan, SCPP menggesa speaker sebagai pengerusi jawatankuasa peraturan mesyuarat memanggil jawatankuasa itu dan melaksanakan pindaan Peraturan Mesyuarat 36 diluluskan sebelum persidangan Parlimen berakhir pada Ogos,” katanya.
Kumpulan itu berkata, kegagalan mengenakan hukuman membabitkan kelakuan berkenaan di Dewan Rakyat dianggap menghantar isyarat perbuatan seumpama itu diterima dan dibenarkan di Dewan Rakyat.
Kenyataan itu juga disokong Bersih, Undi18, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Bait Al Amanah, Engage Network, Wisdom Foundation, dan Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM).