Petronas diunjur sumbang sehingga RM59 bilion kepada kerajaan tahun ini

Petronas diunjur sumbang sehingga RM59 bilion kepada kerajaan tahun ini

Ia berdasarkan unjuran laporan kewangan Petronas pada Mac 2022 dengan andaian harga minyak mentah Brent kekal pada paras USD100.03 setong.

Mustapa Mohamed berkata, sekiranya pengeluaran tidak terganggu sepanjang tahun ini, keuntungan Petronas selepas cukai bagi tahun kewangan 2022 diunjurkan sekitar RM75 bilion hingga RM80 bilion.
PETALING JAYA:
Sumbangan Petronas kepada kerajaan persekutuan dianggarkan sekitar RM55 bilion hingga RM59 bilion tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed.

Dalam jawapan bertulis Parlimen, beliau berkata, sekiranya pengeluaran tidak terganggu sepanjang tahun ini, keuntungan Petronas selepas cukai bagi tahun kewangan 2022 diunjurkan sekitar RM75 bilion hingga RM80 bilion.

Katanya, ia berdasarkan unjuran laporan kewangan Petronas pada Mac 2022, dengan andaian harga minyak mentah Brent kekal pada paras USD100.03 setong.

“Jangkaan sumbangan itu termasuk dalam bentuk dividen, cukai korporat dan petroleum, cukai makmur, bayaran tunai petroleum dan duti eksport.

“Daripada anggaran sumbangan RM55 bilion hingga RM59 bilion itu, cukai pendapatan petroleum bagi 2022 dianggarkan sekitar RM14 bilion hingga RM16 bilion,” katanya.

Ahli Parlimen Jeli itu menjawab pertanyaan Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) berhubung unjuran keuntungan Petronas dan hasil kerajaan persekutuan daripada cukai pendapatan petroleum bagi tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.