
Pengasas bersama Crackhouse Comedy Club itu mengaku tidak bersalah selepas tuduhan-tuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim Nor Hasniah Abdul Razak.
Dia dibebaskan dengan jaminan RM12,000 dan seorang penjamin, serta diarahkan menyerahkan pasport.
Rizal didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdepan hukuman penjara maksimum setahun, denda RM50,000, atau kedua-duanya bagi setiap tuduhan jika sabit kesalahan.
Menurut kertas tuduhan, Rizal, 39, memuat naik video di laman Facebook “Rizal van Gyzel” dengan niat menyakitkan hati orang lain kira-kira 11.23 malam pada 4 Julai.
Tuduhan kedua dan ketiga pula menyatakan Rizal memuat naik video yang sama ke laman Instagram “rizalvangeyzel” pada 6 Julai, dan akaun Tiktok pada 5 Julai.
Peguam Rizal, Ramkarpal Singh meminta ikat jamin RM6,000 kerana katanya, Rizal ialah pencari nafkah tunggal bagi keluarganya. Rizal mempunyai tiga orang anak berusia antara tiga dan 11 tahun, seorang daripadanya menghidap disleksia.
Ramkarpal berkata, anak guamnya turut menjaga bapa yang berusia 74 tahun dan membantu membayar kos rawatan kansernya.
Mahkamah menetapkan 19 Ogos untuk sebutan semula kes.