Pelabur mungkin pinggir Malaysia jika isu pemerdagangan manusia tak selesai, kerajaan diberitahu

Pelabur mungkin pinggir Malaysia jika isu pemerdagangan manusia tak selesai, kerajaan diberitahu

Pelabur mungkin fikir berisiko untuk melabur di Malaysia dan ini akan menjejaskan pertumbuhan KDNK negara, kata Adrian Pereira daripada North-South Initiative.

Jabatan Negara AS mengekalkan Malaysia pada Tahap 3, dengan berkata kerajaan tidak sepenuhnya mematuhi piawaian minimum untuk menghapuskan pemerdagangan manusia dan tidak juga melakukan usaha yang ketara untuk berbuat demikian.
PETALING JAYA:
Malaysia akan menjadi antara negara yang paling kurang berdaya saing di mata pelabur dan profesional berkemahiran tinggi jika kita tidak menyelesaikan masalah pemerdagangan manusia, aktivis hak asasi memberi amaran.

Mereka berkata, kerajaan mesti serius dalam usaha memperbaik kedudukan negara dalam laporan tahunan pemerdagangan manusia keluaran Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Malaysia kekal pada Tahap 3 dalam laporan terbaru, yang mengatakan kerajaan tidak sepenuhnya mematuhi piawaian minimum untuk menghapuskan pemerdagangan dan tidak juga melakukan usaha yang ketara untuk berbuat demikian.

Wakil negara Migrant CARE Alex Ong memberi amaran bahawa AS akan memulakan langkah dengan mengurangkan pelaburan, kerjasama ekonomi dan lain-lain bentuk bantuan kepada negara Tahap 3.

“Pada asasnya, ‘kelab Davos’ telah meminimumkan pelaburannya di Malaysia, menjadikan (kita) salah satu negara yang paling kurang diminati untuk dimasukkan pelaburan modal,” katanya, merujuk kepada negara anggota elit Forum Ekonomi Dunia.

“Penting bagi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan pentadbirannya untuk membuat penilaian 100 hari terhadap prestasi pemegang jawatan kepimpinan yang tidak mencapai kemajuan dalam mewujudkan persekitaran kondusif untuk pengurusan pekerja asing.”

Pengarah Eksekutif North-South Initiative Adrian Pereira berkata, keadaan ini, jika berterusan, akan menakutkan pelabur.

“Mereka akan fikir, berisiko untuk melabur di Malaysia. Produk mereka mungkin ‘disekat’ disebabkan isu buruh paksa. Ini akan menjejaskan pertumbuhan KDNK negara,” katanya.

Menurut Pereira, yang tidak terkejut dengan penemuan laporan itu, keadilan di Malaysia tidak cukup untuk mangsa buruh paksa.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak rasa kedudukan Tahap 3 itu akan menghalang pekerja asing datang ke Malaysia.

“Kerajaan perlu serius dan mempunyai proses pengambilan pekerja yang jelas,” katanya.

“(Proses) itu tak sepatutnya terlalu rumit, dan pada masa sama, ia juga patut memberi penyelesaian untuk melindungi kumpulan-kumpulan ini daripada diskriminasi dan memberikan mereka hak yang sama.”

Ahli Majlis Anti-Pemerdagangan Manusia Selangor Abdul Aziz Ismail berkata, kerajaan tiada iltizam politik untuk menyelesaikan masalah pemerdagangan manusia.

“Walaupun mencetuskan program untuk meringankan masalah ini, kerajaan tidak melatih orang di lapangan,” katanya.

“Pegawai bukannya melindungi pendatang, sebaliknya memburu mereka, bukan pelaku (pemerdagangan manusia),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.