
Hakim Nordin Hassan berkata, Yang di-Pertuan Agong tidak mengehadkan bidang kuasa mahkamah rendah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bawah Akta Mahkamah Rendah 1948.
“Jika tiada had bidang kuasa tempatan ditetapkan, Mahkamah Sesyen boleh mendengar dan membuat keputusan bagi mana-mana kes dari mana-mana bahagian Semenanjung Malaysia,” katanya dalam penghakiman setebal 37 muka surat, membenarkan rayuan pihak pendakwaan dalam kes Suruhanjaya Sekuriti.
Hakim lain yang bersidang bersama ialah Kamaludin Said dan Ahmad Zaidi Ibrahim.
Nordin berkata, alasan pesuruhjaya kehakiman dalam rayuan semasa bahawa had bidang kuasa tempatan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ditetapkan di bawah perintah pesuruhjaya tinggi British pada 1955, adalah cacat.
“Perintah 1955 hanya menugaskan had bidang kuasa tempatan kepada Mahkamah Sesyen di Selangor. Ini kerana Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan tidak wujud ketika itu,” katanya.
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ditubuhkan pada 1 Feb 1974 menerusi pindaan Perlembagaan. Sebelum ini, wilayahnya sebahagian daripada Selangor.
Pada 29 Sept 2020, Pesuruhjaya Kehakiman ketika itu, Aslam Zainuddin membenarkan bantahan awal terhadap rayuan oleh bekas pengarah Multicode Electronics Industries (M) Berhad, Abul Hassan Mohamed Rashid, yang didapati bersalah atas kesalahan pecah amanah jenayah membabitkan RM26 juta.
Dia dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, walaupun kesalahan yang didakwa itu berlaku di Johor Bahru pada 2007.
Dalam membenarkan bantahan itu, Aslam berkata, Mahkamah Sesyen tidak mempunyai bidang kuasa wilayah di seluruh negara seperti Mahkamah Tinggi.
Beliau mengisytiharkan prosiding Mahkamah Sesyen terbatal dan tidak sah, menyebabkan pihak pendakwaan memfailkan rayuan.
Panel Mahkamah Rayuan turut memerintahkan rayuan Hassan terhadap sabitan dan hukumannya didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi lain.
Timbalan Pendakwa Raya, Dusuki Mokhtar mengendalikan pendakwaan, manakala peguam Shafee Abdullah, Wan Aizuddin Wan Mohmmed dan Nur Syahirah Hanapiah mewakili Abul Hassan, yang bebas dengan ikat jamin.